Laporan/foto: Rashid Ibrahim/Mohd Nazirul Norani (Mersing)
MERSING, 13 Mac (Malaysiaaktif) – Pelaksanaan vaksinasi di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan merangkumi proses dari enrolmen kumpulan sasar bagi setiap fasa yang terlibat sehinggalah pemberian dan pemantauan kesan vaksinasi.
Menurut Pegawai Daerah Mersing Mohd Radzi Mohd Amin, program imunisasi menyeluruh itu bagi memastikan imuniti kelompok dapat dibentuk di dalam komuniti agar rantaian penularan jangkitan diputuskan dan akhirnya menamatkan pandemik COVID-19.
“Impak positif akan dirasai rakyat di negara ini apabila semua individu telah dilindungi dan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan berjaya dilaksanakan.
“Dengan pelaksanaan program ini, kerajaan ingin memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk dewasa Malaysia menerima vaksin menjelang Februari 2022 untuk mengurangkan penularan virus COVID-19,” katanya ketika memberi taklimat pada Majlis Komuniti@PMR-CITF (COVID- 19 Immunisation Task Force) Daerah Mersing 2021 di Bilik Gerakan Pejabat Daerah Mersing, di sini, baru-baru ini.
Tambah beliau, pada masa ini masih terdapat segelintir dalam kalangan masyarakat umum yang masih tidak yakin untuk mengambil suntikan vaksin berikutan kurang mendapat maklumat yang tepat mengenai keperluan mengambilnya.
“Bagi memastikan kejayaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ini, Pejabat Penerangan Daerah dengan kerjasama Pejabat Kesihatan dan Pejabat Daerah Mersing telah menganjurkan taklimat ini bagi meningkatkan lagi kesedaran masyarakat tentang vaksin COVID-19.
“Ini merupakan langkah terbaik dalam memberikan penerangan serta maklumat kepada orang ramai mengenai kepentingan untuk mereka mendaftar segera sebagai penerima vaksin COVID-19 dan kelebihannya,” ujarnya.
Radzi berkata, taklimat ini juga diadakan untuk memastikan tiada golongan yang akan tercicir daripada mendapat suntikan vaksin COVID-19 khususnya penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman dan komuniti Orang Asli.
“Kita turut memberi penerangan tentang proses pendaftaran dan kaedah-kaedah yang telah disediakan oleh kerajaan bagi memudahkan masyarakat untuk mendaftar sebagai penerima vaksin,” ujarnya lagi.
Ketua Kampung Seri Pantai Fadzir Abdullah yang ditemui berkata, pelbagai maklumat dan penjelasan mengenai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, proses pendaftaran dan kebaikan menerima suntikan COVID-19 yang diperolehi hari ini akan di kongsikan dengan penduduk-penduduk di kawasan pentadbirannya.
“Sebagai pemimpin yang paling hampir dengan masyarakat, saya akan memastikan mereka akan mendaftar sebagai penerima vaksin dan tiada yang akan tercicir terutama warga emas, golongan yang berisiko tinggi serta orang kurang upaya (OKU).
“Masyarakat perlu sedar, vaksin ini bukan sahaja untuk melindungi diri kita tetapi juga orang-orang yang kita sayang, komuniti dan negara,” katanya.
-NI-