
Laporan/foto: Sumardi Sugiman/Mohd Rizal Sabtu (Limbang)
LIMBANG, 5 Jul (MalaysiaAktif) – Program Gagar Limbang: Karnival Mini MOT dan Hari Kerjaya 2026 di Waterfront Limbang mendapat sambutan menggalakkan apabila menghimpunkan pelbagai perkhidmatan kerajaan, peluang pekerjaan serta aktiviti komuniti dalam satu lokasi.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata, program dua hari itu menyediakan platform kepada orang ramai bagi mendapatkan maklumat daripada agensi kerajaan, selain membuka ruang pencari kerja bertemu bakal majikan melalui konsep ‘Kerajaan Dalam Satu Lokasi’.
“Selain Karnival Kerjaya dan sesi temu duga terbuka, pengunjung turut berpeluang mendapatkan pelbagai perkhidmatan daripada jabatan dan agensi kerajaan, menyertai pemeriksaan kesihatan, pendaftaran MyJPJ dan JPJeID, program pertukaran topi keledar, pameran teknologi pengangkutan, aktiviti komuniti serta Jualan Rahmah.
“Kesemua inisiatif ini dirangka dengan matlamat yang sama iaitu memudahkan urusan rakyat sekali gus menjimatkan masa, kos dan tenaga masyarakat,” katanya ketika merasmikan program tersebut, kelmarin.
Menurut Hasbi, Hari Kerjaya hasil kerjasama Kementerian Pengangkutan, Kementerian Sumber Manusia, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) serta rakan industri itu memberi peluang kepada belia dan graduan meneroka kerjaya dalam sektor pengangkutan, logistik, rel, maritim dan penerbangan.
Beliau berharap seluruh warga Limbang serta kawasan sekitarnya memanfaatkan sepenuhnya kemudahan disediakan, selain turut mengingatkan masyarakat supaya sentiasa mengutamakan keselamatan jalan raya.
Pada majlis sama, turut diadakan penyerahan replika cek bagi pelaksanaan Projek Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI Tahun 2026 di daerah ini.
Terdahulu, Hasbi menyempurnakan pelepasan acara Fun Run dan Fun Walk selepas sesi senamrobik bersama masyarakat sebagai usaha menggalakkan amalan gaya hidup sihat.
-RJ-





