Skip to main content
Berita TempatanLabuan

Pembangunan Keluarga Jamin Pembangunan Masyarakat

By 17 Mac 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Azri Onn(Labuan)

LABUAN, 17 Mac (Malaysiaaktif) – Pembangunan institusi keluarga boleh menjamin pembangunan sesebuah masyarakat.

Menurut Pengerusi Masjid Sirajul Islam (MSI), Kampung Tanjung Aru Kifli Awang Kanak, jika diperluaskan lagi konsepnya maka pembangunan keluarga itu akan menjadi faktor penentu dalam pembangunan satu-satu bangsa.

“Adalah penting bahawa pembangunan keluarga dirancang dan dilaksanakan supaya meliputi segala aspek dan aktiviti kehidupan manusia amnya dan keluarga khususnya, dengan tumpuan perhatian kepada aspek-aspek sosial, ekonomi juga politik.

“Setiap keluarga mempunyai nilai dan maruah yang harus dipertahankan melalui peranan yang ada pada setiap ahli-ahli keluarga.

“Keharmonian berkeluarga boleh dicapai melalui hubungan baik antara semua ahli keluarga merangkumi perhubungan spiritual, emosi seperti kasih sayang, sifat hormat-menghormati, bertanggungjawab, berpendidikan serta sifat-sifat kebendaan dan sebagainya,” katanya yang ditemui sempena Program Baiti Jannati MSI 2021, di sini baru-baru ini.

Tambahnya, institusi keluarga adalah institusi yang terpenting dalam proses pembentukan individu yang sihat rohani dan jasmaninya, berilmu dan bermoral.

Ketua Imam Masjid Sirajul Islam, Zainal Abdul Wahab pula menegaskan tujuan program itu adalah untuk memberi pengetahuan kepada jemaah masjid dan ahli kariah tentang kepentingan menjaga keluarga yang bahagia dan mengukuhkan institusi keluarga.

Kifli (kanan) menyampaikan sijil dan saguhati kepada Ustazah Azliena Md. Nor semasa majlis Penutupan Program Baiti Jannati MSI 2021

Kifli (kanan) menyampaikan sijil dan saguhati kepada Ustazah Azliena Md. Nor semasa majlis Penutupan Program Baiti Jannati MSI 2021

“Semua ibu dan bapa pada hakikatnya mengasihani anak-anak mereka dan menaruh cita-cita yang tinggi untuk menikmati kehidupan berkeluarga secara harmoni dan bahagia.

“Keluarga bahagia idaman semua dan ibu bapa yang menjadi pemangkin pengerat kasih sayang antara anak-anak, jika kasih sayang sentiasa dikekalkan, kebahagiaan milik kita bersama.

“Semoga usaha murni pihak masjid ini memberikan satu impak yang amat berfaedah buat jemaah masjid dan ahli kariah Kampung Tanjung Aru amnya,” katanya penuh harapan.

-RI

Tinggalkan komen anda