Skip to main content
Berita TempatanSabah

Pembayaran Elaun JPKK Ditambah Baik

By 18 Mac 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Suzaima Ibrahim (Kota Kinabalu)

KIULU, 18 Mac (Malaysiaaktif) – Pembayaran elaun Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) di negeri ini akan dibuat penambahbaikan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim, berkata kementeriannya telah merangka takwim yang mana elaun JPKK dibayar pada tarikh yang sama dengan pembayaran gaji kakitangan kerajaan dan ketua kampung.

“Ini bagi memastikan sebanyak 2853 badan JPKK di negeri ini dapat menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan kerajaan dengan prihatin, adil, jujur, setia dan mesra rakyat.

“Ini adalah satu penambahbaikan kerana satu waktu dulu, ini sering menjadi keluhan JPKK di mana mereka mempunyai tunggakan-tunggakan elaun sehingga berbulan-bulan,” ujarnya kepada media selepas menyampaikan watikah pelantikan kepada Pengerusi JPKK bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu di Dewan Masyarakat Kiulu, di sini baru-baru ini.

Hadir sama pada program itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai.

Tambahnya, setakat ini, lebih 89 peratus watikah pelantikan telah disampaikan kepada pengerusi JPKK di seluruh Sabah.

Jahid yang juga ADUN Tamparuli, berkata, kementeriannya juga telah merangka untuk memberi kursus kepimpinan kepada semua badan JPKK terpilih di Sabah.

Beliau turut mengingatkan kepada semua pemimpin JPKK yang hadir untuk memberi perkhidmatan yang terbaik dan sentiasa berlaku adil kepada rakyat.

Pada majlis itu, Jahid turut menyampaikan watikah pelantikan kepada 94 Pengerusi JPKK dari daerah Kiulu.

-RI

Tinggalkan komen anda