Laporan/foto: Krisha Selladurai/Surina Simat (Pontian)
PONTIAN, 26 Mac (Malaysiaaktif) – Industri pelancongan antara sektor ekonomi yang sangat terkesan akibat pandemik COVID-19 yang melanda negara.
Belanjawan Johor 2021 di bawah Agenda Johor Berkebajikan terdapat lima insentif yang akan diberikan kepada penggiat-penggiat industri pelancongan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM5 juta.
Menurut Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad, industri pelancongan adalah sektor ekonomi yang amat terkesan dengan penularan pandemik COVID-19 di mana ia memerlukan tempoh yang panjang untuk pulih seperti sedia kala.
“Kerajaan negeri telah memperuntukan sebanyak RM14 Juta kepada Tourism Johor bagi memperhebat dan merancakkan semula sektor pelancongan di negeri ini.
“RM5 juta juga diperuntukan bagi membangun dan menaik taraf prasarana pelancongan yang merangkumi kemudahan asas pelancongan di daerah, homestay dan desastay serta taman negara,” katanya lagi ketika menyampaikan ucapan perasmian Majlis Penyerahan Bantuan Insentif One-Off Kepada Pemandu Pelancong, Agensi Pelancongan dan Persatuan-Persatuan Pelancongan Negeri Johor serta Majlis Pelancaran YOK ROUND JOHOR di Rumah Citra Sri Pinang Benut Pontian, di sini, hari ini.
Tambah beliau, di bawah Agenda Johor Berkebajikan juga sebanyak RM5 juta telah disalurkan bagi membantu penggiat-penggiat industri pelancongan yang terkesan dengan pandemik ini.
“Saya berharap agensi-agensi pelancongan negeri dapat memperbanyakkan pakej-pakej pelancongan yang berdaya saing dan mampu menarik kedatangan pelancong serta dipasarkan secara meluas melalui platform digital.
“Pemandu pelancong juga haruslah meningkatkan mutu perkhidmatan, pengetahuan dan penyampian mereka yang secara tidak langsung dapat mengembalikan semula keyakinan rakyat Malaysia untuk melancong ke negeri ini serta merancakkan semula aktiviti pelancongan domestik,” ujarnya.
Hasni berkata, komitmen pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan beliau akan terus berjuang bagi membantu rakyat yang terkesan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata pemberian insentif one-off sebanyak RM1000 akan diberikan kepada pemandu pelancong yang berdaftar di negeri ini.
“Manakala RM2000 pula diberikan kepada 586 buah syarikat pelancongan dan 16 buah persatuan pelancongan negeri dan daerah yang melibatkan peruntukan sebanyak RM320 ribu.
“Pemberian bantuan ini diharap dapat menyuntik semula semangat baharu kepada semua yang terlibat dalam rantaian sektor pelancongan dan penggiat-penggiat industri pelancongan negeri ini yang begitu terkesan dengan keadaan ekonomi semasa berikutan pandemik ini,” ujarnya lagi.
Beliau turut memaklumkan tentang program YOK ROUND JOHOR yang merupakan salah satu inisiatif kerajaan negeri dalam usaha untuk memperhebatkan kempen promosi pelancongan domestik negeri melalui platform digital.
“Keistimewaan program ini adalah untuk menerokai lokasi produk pelancongan, tempat makan dan pengusaha IKS yang terdapat di seluruh daerah di negeri ini.
“Kerajaan negeri juga akan memperkasakan dan memperluaskan penggunaan platform digital sebagai medium terbaik untuk mempromosikan pelancongan serta penyampian maklumat bagi menggalakkan rakyat melancong di dalam negara,” katanya.
-NI-