Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Pindah Gas Subsidi Bernilai Lebih RM290 Ribu dalam Hutan

By 26 Mac 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norhasliza Hamzah/Nor Sofian Abdul Manan (Segamat)

SEGAMAT, 26 Mac (Malaysiaaktif) – Hasil risikan selama tiga bulan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya membawa kepada pembongkaran kegiatan penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) dianggarkan bernilai RM292,060 di sebuah premis dalam hutan di Lebuhraya Segamat-Kuantan.

Timbalan Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) KPDNHEP Shamsul Nizam Khalil berkata serbuan itu dilakukan oleh 10 pegawai dan anggota penguatkuasa KPDNHEP Cawangan Segamat di premis yang digunakan sebagai tempat untuk memindahkan gas LPG bersubsidi ke dalam tong LPG industri yang sudah beroperasi sejak empat bulan lalu.

“Dalam serbuan berkenaan, anggota pasukan telah menemui sejumlah 16 tong gas LPG 50 kilogram yang sudah berisi LPG manakala tong kosong sebanyak 182 tong 50kg dan 975 tong 14kg.

“Turut ditemui peralatan-peralatan yang digunakan bagi tujuan aktiviti memindahkan gas LPG seperti paip besi dan hos, alat penimbang pelantar bermeter digital, peralatan pengepaman gas LPG dan penutup kepala tong gas,” katanya lagi pada satu sidang media di premis berkenaan, di sini hari ini.

Premis yang beroperasi di dalam hutan digunakan sebagai tempat memindahkan gas LPG bersubsidi ke dalam tong LPG industri.

Premis yang beroperasi di dalam hutan digunakan sebagai tempat memindahkan gas LPG bersubsidi ke dalam tong LPG industri.

Tambah beliau, ketika serbuan seramai tujuh orang warga asing dan seorang lelaki tempatan mengaku sebagai tuan punya premis telah ditahan bagi membantu siasatan.

“Turut disita, sebuah lori beserta muatan 900 tong gas 14kg berisi LPG untuk kegunaan domestik di laluan Jalan Segamat-Kuantan yang disyaki digunakan untuk mengangkut LPG.

“Berdasarkan siasatan awal, bekalan LPG ini dihantar oleh pembekal berlesen di Lembah Klang ke sini bagi aktiviti pemindahan gas LPG bersubsidi ke dalam tong LPG industri dan dibawa semula untuk pasaran di Lembah Klang,” ujarnya.

Shamsul berkata, KPDNHEP tidak akan berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang membenteras sindikit penyelewangan subsidi barang kawalan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (Akta 613) AMLATFPUAA 2001,” ujarnya lagi.

“Orang ramai dinasihatkan untuk menyalurkan maklumat kepada pihak KPDNHEP sekiranya terdapat aktiviti keluar masuk lori-lori LPG di lokasi-lokasi tersembunyi bagi tindakan awal pihaknya,” katanya.

Berdasarkan tinjauan Malaysia Aktif ke lokasi serbuan, premis tersebut terletak di kawasan terpencil dengan keadaan jalan masuk bertanah merah di laluan ladang kelapa sawit dan kuari dengan jarak 10 kilometer dari Taman Yayasan Segamat.

-NI-

Tinggalkan komen anda