Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Vaksin Mampu Putuskan Rantaian Pandemik COVID-19

By 26 Mac 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Musliha Yusof (Batu Pahat) 

BATU PAHAT, 26 Mac (Malaysiaaktif) – Sejak pendaftaran vaksin COVID-19 di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dibuka secara rasmi melalui aplikasi MySejahtera, hanya 24.5 peratus daripada 83,825 orang di daerah ini yang telah mendaftar menerusi medium tersebut telah bersetuju untuk menerima vaksin COVID-19.

Menurut Pegawai Daerah Batu Pahat Ismail Abu masih terdapat segelintir masyarakat yang memiliki telefon pintar tetapi tidak memuat turun aplikasi MySejahtera kerana kurang faham untuk menggunakannya terutama golongan warga emas, orang kampung dan penduduk di kawasan pedalaman.

“Sebagai masyarakat yang prihatin, saya berharap kita dapat bersama-sama membantu golongan-golongan tersebut untuk mendaftar sebagai penerima vaksin.

“Suntikan vaksin tidak dilakukan secara tergesa-gesa tetapi telah dikaji dan diperhalusi oleh pasukan perubatan yang menilai risiko dengan membuat semakan terlebih dahulu sejarah penyakit yang dihadapi dan alahan sebelum membuat keputusan sama ada vaksin itu sesuai untuk diambil atau pun sebaliknya,” katanya lagi ketika menyampaikan ucapan perasmian Program Komuniti@PMR (COVID-19 Immunisation Task Force: CITF) di Lilin Puteh Event Space Summit Parade, di sini semalam.

Pegawai Kanan Kesihatan Batu Pahat Dr Shahril Azian Masrom dalam sesi ceramahnya menerangkan bahawa fungsi vaksin COVID-19 ini adalah untuk melindungi diri kita daripada dijangkiti virus itu.

“Apabila vaksin ini telah membina antibodi dalam badan kita, sistem pertahanan badan akan terbentuk dan seterusnya melindungi diri daripada dijangkiti virus COVID-19.

“Apabila tiada lagi kes positif dilaporkan dan rantaian jangkitan dapat diputuskan, kita semua akan bebas dari wabak ini,” ujarnya.

-NI-

Tinggalkan komen anda