Laporan/foto: Mohd Ridhuan Mohd Fadhil Samuel/Zulkifli Ahmad (Kuala Kangsar)
KARAI, 24 Mac (Malaysiaaktif) –Sebanyak RM250 juta peruntukan bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) untuk melaksanakan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Perak Fasa 1.
Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata pelaksanaan projek ini terbahagi kepada 11 komponen yang melibatkan projek tebatan banjir, living river dan saliran mesra.
“Sebahagian daripada komponen living river adalah jejak basikal dari Chenderoh ke Jambatan Victoria yang menelan belanja sebanyak RM2 juta bermula 21 Oktober 2019 dan telah siap pada 6 Disember 2020.
“Projek ini menggunakan jalan kampung sedia ada, rizab sungai dan jalan Jabatan Kerja Raya (JKR) sepanjang 25km sebagai laluan berbasikal,” katanya yang ditemui dalam Majlis Penyerahan Projek PLSB Sungai Perak Fasa 1 di Dataran Victoria, di sini semalam.
Menurut Tuan Ibrahim, jalan kampung ini merupakan akses kepada jalan-jalan utama serta penghubung antara kampung-kampung sekitar situ.
“Ia juga merupakan inisiatif serampang dua mata pihak kerajaan untuk mengindahkan kawasan sekitar sungai selain menjana pertumbuhan ekonomi setempat serta mendorong penduduk tempatan supaya berganding bahu untuk bersama-sama memelihara Sungai Perak secara mampan dan bersih.
“Saya percaya, dengan sokongan semua pihak akan dapat meningkatkan kualiti hidup penduduk dan mewujudkan persekitaran yang kondusif ke arah kesejahteraan hidup rakyat,” katanya.
~RJ~