Laporan/foto: Wee Kim Been (Pasir Mas)
PASIR MAS, 7 Mac (Malaysiaaktif ) – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekomoni) Datuk Sri Mustapha Mohamed bersama Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali, meninjau kawasan rekahan tebing Sungai Kelantan dalam lawatan kerja mereka di Kampung Pohon Celagi di sini.
Menurut Mustapha, rekahan pada 14 Februari lalu menjadi semakin buruk berikutan cuaca hujan di kawasan ini dengan membentuk rekahan sepanjang 300 meter di kawasan berkenaan.
“Keadaan ini menjejaskan 50 buah rumah di atas 11 lot tanah milik persendirian dan lima lot tanah rizab kerajaan yang melibatkan seramai 97 orang penghuni terkesan.
“Sehingga kini pihak Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS ), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Kerajaan Negeri Kelantan masih lagi melakukan kajian lanjut punca sebenar rekahan runtuhan di sekitar kawasan berkenaan berlaku,” katanya ketika ditemui, di sini kelmarin.
Dalam lawatan kerja tersebut, Jabatan Pengaliran dan Saliran Negeri Kelantan, memohon peruntukan khusus daripada Kerajaan Persekutuan, bagi membina benteng penahan hakisan serta lanskap keceriaan di persisir sungai berkenaan melibatkan anggaran kos sekitar 57 juta keseluruhannya.
Menurut penduduk setempat Zuraida Talib, 55, mengharapkan agar projek pembinaan benteng hakisan ini dapat disegerakan demi keselamatan penduduk sekitar.
“Semoga tindakan segera dapat diambil bagi mengelakkan hakisan yang lebih besar.
“Pembinaan benteng ini juga boleh menjadi sumber tarikan lanskap yang cukup menarik dan pastinya boleh menjana sumber ekonomi penduduk di kawasan sekitar, lebih rancak dan menarik kepada pelancong luar dan dalam Kelantan,” ujarnya.
-SH