Laporan/foto: Wee Kim Been (Pasir Mas)
PASIR MAS, 7 Mac (Malaysiaaktif) – Seorang penduduk dari Gual Mesa di sini mampu jana pendapatan lumayan hasil daripada penanaman nenas jenis MD2.
Zainal Abidin, 64, mengubah corak tanaman kontan jangka panjang kepada jangka pendek.
“Saya telah mengusahakan tanaman nenas MD2 ini sejak 10 tahun yang lalu, bermula dengan tanaman secara kecil-kecilan dengan menyewa tapak tanah terbiar di kawasan kampung Desa Mesa.
“Kini saya telah berjaya mengusahakannya secara komesial dengan 30 ribu anak pokok bagi lima ekar keluasan tanah,” katanya ketika ditemui di ladang nenasnya, di sini baru-baru ini.
Menurut Zainal, pada masa kini permintaan nenas MD2 amat menggalakkan dan sentiasa mempunyai permintaan tinggi daripada pemborong di sekitar negeri ini.
“Isi nenas ini pula lebih manis dan ranggup disebabkan faktor pembesaran serta dipengaruhi suhu sejuk pada waktu malam.
“Dari segi tempoh matang nenas MD2 ini pula lebih singkat iaitu 14 bulan berbanding nenas lain yang mempunyai usia matang 16 bulan.
“Projek tanaman nenas ini mendapat kerjasama daripada Jabatan Pertanian, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Kelantan,” katanya.
Menurut Pegawai RISDA, Mohd Azri Rosli, 34, pemantau projek ini berkata varieti nenas MD2 yang diusahakan ini semakin popular ditanam di negara ini.
“Kawasan tanah tinggi menjadi pilihan selepas kajian mendapati tanah berkenaan mengandungi mineral lebih baik berbanding tanah gambut biasa.
“Selain itu, nenas MD2 yang ditanam di tanah tinggi ini adalah premium yang dijual pada harga ladang RM3.50 sekilogram dan mampu mencapai berat sehingga 3.5 kg sebiji.
“Sehingga kini untuk satu-satu musim tuaian hasil kutipan nenas MD2 secara purata kasar oleh Zainal Abidin, mececah hampir RM98,000,” katanya.
Menurut Wahab Jusoh, 45, beliau kini bersyukur kerana diberi peluang oleh Zainal untuk berkecimpung sama dalam penanaman nenas MD2 ini.
“Usaha ini mampu membebaskan setiap individu dari kemiskinan dengan bergiat aktif dalam bidang pertanian yang berjaya mengubah corak kehidupan, bagi yang ingin berjaya,” ujarnya.
Zainal dibantu oleh tiga orang pekerjanya bagi mengusahakan MD2 ini sejak memulakan usaha mengkomersialkan tanaman ini.
-SH