Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal/Nurul Ain Johari (Kulai)
KULAI, 03 Mac (Malaysiaaktif) – Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara petang semalam bersetuju untuk menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di empat negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Johor dan digantikan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuatkuasa pada 5 Mac 2021 hingga 18 Mac 2021.
Ini menjadikan setakat ini lapan negeri yang berstatus PKPB iaitu Selangor, Johor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Kelantan.
Menurut Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tujuh negeri telah ditukar ke Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) iaitu Melaka, Pahang, Terengganu, Perlis, Sabah, Putrajaya dan Labuan.
“Pergerakan rentas daerah dibenarkan bermula 5 Mac 2021 hingga 18 Mac 2021 manakala setakat ini kebenaran merentas negeri masih tidak dibenarkan,” katanya ketika Sidang Media Perintah Kawalan Pergerakan, semalam.
Pada sidang media itu, Ismail Sabri juga turut mengumumkan tentang beberapa aktiviti sosial yang dibenarkan berlangsung berkuatkuasa pada 5 Mac 2021 di seluruh negera.
“Beberapa aktiviti sosial dibenarkan dibuat seperti majlis rasmi atau tidak rasmi kerajaan, kenduri, majlis perkahwinan, pertunangan, majlis aqiqah, doa selamat, tahlil, sambutan ulang tahun, sambutan hari kelahiran dan lain-lain majlis sosial dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Untuk had kehadiran pula, bagi kawasan PKPB adalah 50 peratus keluasan premis manakala bagi PKPP adalah mengikut keluasan premis,” ujarnya.
Beliau turut menyeru rakyat agar sentiasa mengamalkan pembudayaan norma baharu dan duduk di rumah jika tiada urusan penting di luar kerana ini merupakan langkah terbaik bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.
-NI-