Laporan/foto: Krisha Selladurai/Mohamed Hisham Azmi (Pontian)
PONTIAN, 15 Mac (Malaysiaaktif) – Kerajaan negeri komited dalam menjayakan Agenda Jaminan Bekalan Makanan Negeri Johor bagi memastikan Johor kekal menjadi hab bekalan makanan bukan sahaja bagi pasaran domestik tetapi antarabangsa.
Menurut Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad, inisiatif ini penting kerana sektor pertanian adalah sektor penting di mana sektor ini bukan sahaja memberi jaminan bekalan makanan kepada rakyat tetapi menjamin kestabilan ekonomi pemainnya.
“Kerajaan negeri telah memperuntukkan RM500,000 yang telah disalurkan kepada PPK Benut dan Kluang bagi memastikan Agenda Jaminan Bekalan Makanan Negeri dapat di jayakan.
“Perancangan ini diharap dapat memberikan faedah kepada petani, penternak dan nelayan serta mendapat hasil pulangan yang memberangsangkan untuk memastikan agenda ini berjaya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Program Mento Mentee Pertubuhan Peladang Daerah Pontian Bersama All Cosmos Industries di Peladang Biz Centre PPK Benut, di sini, semalam.
Tambah beliau, salah satu sektor yang boleh meningkatkan ekonomi rakyat dan komuniti dalam negara adalah melalui pertanian.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Pertubuhan Peladang kerana menyambut baik usaha kerajaan negeri dan bersama-sama memastikan agar bekalan makanan mencukupi seterusnya menjadikan negeri ini hab bekalan makanan.
“Saya gembira melihat jalinan kerjasama yang dibina antara pihak swasta dan agensi kerajaan dalam menjayakan agenda bekalan makanan yang diusahakan oleh kerajaan negeri ini,” ujarnya.
Hasni berkata, pada program hari ini dapat menyaksikan syarikat All Cosmos Industries menyediakan peruntukan sebanyak RM486,185 bagi melaksanakannya dan membekalkan input pertanian kepada para peserta serta memberi bimbingan bagi melahirkan lebih ramai usahawan tani.
“Usaha seperti ini amat digalakkan kerana Johor berpotensi menjadi pengeluar makanan khususnya pengeluar buah-buahan terbesar negara.
“Selain itu, kita juga berharap dapat meningkatkan lagi kemampuan eksport produk tempatan pada masa depan,” ujarnya lagi.
Beliau turut memaklumkan akan memperluas pelaksanaan Agenda Jaminan Bekalan Makanan Negeri Johor di daerah-daerah lain pada masa akan datang.
Program Mentor Mentee Pertubuhan Peladang ini menyaksikan seramai 24 peserta daripada empat PPK iaitu Pontian Selatan, Benut, Pekan Nanas dan Ayer Baloi terlibat dalam menjayakan lima projek korporat.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor Datuk Samsolbari Jamli, Pegawai Daerah Pontian Mohd Rafi Abdullah dan Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Johor Sawalludin Ahmad.
-NI-