Laporan/foto : Mazlin Basir (Batu Pahat)
BATU PAHAT, 15 Mac (Malaysiaaktif) – Program Malaysia Prihatin merupakan platform bagi memberi penerangan kepada rakyat mengenai inisiatif dan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan dalam menangani pandemik COVID-19.
Menurut Menteri Pengajian Tinggi Malaysia Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, kerajaan telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bermula 18 Mac 2020 yang lalu sebagai langkah pencegahan bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19.
“Di pihak Kementerian Pengajian Tinggi (PKT) sendiri, pelaksanaan PKP ini turut memberi kesan kepada pelajar-pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang mana ibu bapa mula risau mengenangkan nasib anak-anak mereka.
“Oleh itu, bermula 27 April sehingga 4 Jun 2020, KPT telah melaksanakan misi penghantaran pulang pelajar yang terkandas di kampus ke kampung halaman masing-masing yang melibatkan sejumlah 1,860 buah bas dan 137 penerbangan bagi menjayakan misi ini,” katanya lagi ketika ditemui pada Program Malaysia Prihatin Siri 1 Bersama Menteri Pendidikan Tinggi di Dewan Sultan Ibrahim, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), di sini, semalam.
Tambah beliau, melalui program #KPTPrihatin pelbagai langkah proaktif telah diambil antaranya kerjasama antara kementerian dengan pihak IPT dalam membantu para pelajar dari keluarga B40 melalui pemberian bantuan pelan data dan peranti dengan harapan ia dapat memudahkan para pelajar menjalani Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian.
“Selain itu, turut diberikan bantuan RM50 secara one-off kepada 76,153 pelajar baharu sesi akademik 2020/2021 yang melibatkan peruntukan sebanyak RM3.8 juta.
“Pihak kementerian turut menyumbang bantuan pelan data B40 dengan peruntukan sebanyak RM24 juta yang memanfaatkan 320,396 pelajar dan bantuan peranti B40 bersasar yang melibatkan peruntukan sebanyak RM13 juta kepada 8,965 pelajar,” ujarnya lagi.
Tambahnya lagi, kadar yuran asrama juga telah dikurangkan sehingga 15 peratus bagi semua universiti awam dan juga pelaksanaan penangguhan bayaran balik Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang melibatkan dua fasa pada tahun lepas iaitu fasa satu pada 19 Mac hingga 30 September 2020 dan fasa dua pada 1 Oktober hingga 31 Disember 2020 dengan jumlah keseluruhan anggaran penangguhan bayaran balik adalah sebanyak RM1.14 billion yang memanfaatkan 1.5 juta peminjam.
“Bagi meringankan beban golongan yang terjejas, moratorium pinjaman PTPTN ini diteruskan pada tahun ini bermula 1 Januari hingga 31 Mac 2021,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut menekankan bahawa KPT telah bersetuju untuk menanggung sepenuhnya bayaran proses UPUOnline/UNIK ID untuk semua pemohon bagi sesi akademik 2021/2022 bagi membolehkan permohonan kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) dibuat terus dilaman sesawang upu.mohe.gov.my sehingga 31 Mac 2021.
Noraini berkata bagi memutuskan rantaian penularan wabak ini, pihak kerajaan telah meningkatkan kawalan sempadan bagi mengawal aliran kemasukan individu yang berpotensi dijangkiti COVID-19 ke dalam negara.
“KPT juga turut menggembleng usaha yang sama khususnya dalam urusan kemasukan pelajar antarabangsa yang hanya dibenarkan bermula pada 1 januari 2021 yang lepas, tidak termasuk dari United Kingdom.
“Kuarantin wajib dan bersasar turut dilaksanakan khusus untuk rakyat dan pemastautin tetap yang ingin memasuki Malaysia.
“Bagi melancarkan proses ini, pihak kementerian telah menawarkan penggunaan fasilitinya seperti Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) untuk tujuan kuarantin dan juga Hospital Pengajar Universiti (HPU) yang membantu dari sudut penyediaan tenaga pakar, ubat-ubatan, ujian saringan serta rawatan kepada pesakit COVID-19,” ujarnya.
Pada program tersebut, turut di adakan forum bertajuk “Peranan Pendidik Mendepani Cabaran Era Pandemik” bersama Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz (UKM) Profesor Dr Razman Jarmin dan Pegawai Kesihatan Daerah Batu Pahat Dr Shahril Azian Masrom.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementeriaan Pengajian Tinggi Malaysia Datuk Seri Dr Mazlan Yusoff , Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Ts. Dr Wahid Razzaly dan Pegawai Daerah Batu Pahat Ismail Abu.
-NI-