Skip to main content
Berita TempatanSabah

Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan Setiap 15 Mac

By 16 Mac 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Janifer Stanis (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU 16 Mac (Malaysiaaktif) – Hari Pengguna Kebangsaan akan diraikan 15 Mac setiap tahun bermula tahun ini di mana tarikh ini dipilih bersempena sambutan Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia yang disambut serentak seluruh dunia setiap tahun sejak 1983.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Sri Alexander Nanta Linggi, berkata kerajaan bersetuju menjadikan tarikh tersebut sebagai sambutan Hari Pengguna Kebangsaan bagi menghargai sumbangan dan mengiktiraf pengguna di negara ini.

“Tahun 2021 adalah tahun yang bersejarah kerana buat pertama kalinya sambutan Hari Pengguna Kebangsaan sempena Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia diraikan pada tarikh yang sama yang mana ia mengambil kira kepelbagaian latar belakang pengguna di Malaysia.

“Tema yang telah dipilih untuk Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia tahun ini adalah ‘Menangani Pencemaran Plastik’ yang mana ia merupakan salah satu isu dan cabaran terbesar yang dihadapi pada masa ini terhasil dari pengurusan buangan yang tidak berhemah dan teratur.

“Kerajaan sangat komited dan akan bersama dengan badan dunia menangani perkara berkenaan dan mengurangkan penggunaan plastik terutama plastik guna sekali yang memberikan impak negatif kepada kehidupan manusia dan umur bumi,” katanya menerusi satu kenyataan media, semalam.

Menurut Alexander, kerajaan telah memulakan advokasi dan peraturan penggunaan plastik guna sekali sejak 2019.

“Advokasi dan peraturan ini akan diteruskan dan dipertingkatkan sehingga pengguna benar-benar faham dengan bahaya plastik guna sekali kepada kehidupan dan bumi kita.

“Pada masa yang sama, KPDNHEP akan terus mendidik dan membentuk pengguna sehingga pengguna di Malaysia menjadi entiti yang tahu hak mereka, bijak, bermaklumat, berdaya-upaya dan berani bertindak,” katanya.

Tambahnya, kerajaan juga akan terus mengadakan pelbagai program advokasi bersama-sama agensi kerajaan bagi meningkatkan tahap kesedaran pengguna dan Persatuan Pengguna di negara ini, seiring dengan negara maju yang lain.

“Pelbagai program dan aktiviti akan terus dilaksanakan termasuk libat-urus bersama persatuan pengguna di peringkat nasional mahupun universiti dan sekolah, serta advokasi di media arus perdana, media sosial dan digital.

“Indeks Pendayaupayaan Pengguna di Malaysia pada ketika ini berada di peringkat sederhana iaitu 63.1%.

“Kementerian mensasarkan Indeks Pendayaupayaan Pengguna di Malaysia dapat ditingkatkan melebihi 85% dalam masa dua tahun dan akan terus membantu persatuan pengguna di semua peringkat bagi tujuan tersebut,” ujarnya.

-RI

Tinggalkan komen anda