Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanPerlis

Kesalahan Kompaun RM10,000 Akan Diperincikan – Takiyuddin Hassan

By 16 Mac 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Aini Hanapiah/Anuar Che Amat (Kangar) 

KANGAR, 16 Mac (Malaysiaaktif) – Jawatankuasa Pengurusan Darurat COVID-19 akan memperincikan senarai kesalahan dan jumlah maksimum kompaun dalam mesyuarat yang akan diadakan hari ini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Udang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, kerajaan akan memperincikan kesalahan yang boleh dikenakan kompaun RM10,000 mengikut Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 bagi menangani kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Kerajaan turut memberi jaminan pelaksanaan jumlah maksimum kompaun membabitkan kesalahan ketidakpatuhan atau ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan diselesaikan dalam masa terdekat.

“Kompaun yang dikenakan bukan bertujuan untuk menghukum tetapi ia adalah sebagai langkah pencegahan dan pengajaran bagi memastikan orang ramai sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan dalam memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di negara ini,” katanya ketika ditemui pada program lawatan kerja Pengerusi Bersama Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat COVID-19 ke Perlis di Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis, di sini semalam.

Tambah beliau, ketegasan undang-undang perlu ada tetapi pada masa yang sama budi bicara juga perlu bagi mewujudkan keseimbangan di antara kedua-duanya.

Sementara itu, pada program lawatan itu juga beliau turut mendengar taklimat tentang situasi terkini COVID-19, meninjau dan mendengar pandangan-pandangan yang berkaitan.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada seluruh rakyat Perlis yang telah berjaya mencapai 98 peratus tahap pematuhan SOP berdasarkan laporan yang dibentangkan Ketua Polis Negeri.

“Displin diri yang tinggi dan sentiasa patuh dengan arahan kerajaan membolehkan negeri ini kekal di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan ia perlu dipertahankan bagi melandaikan lekuk penularan COVID-19,” ujarnya.

Turut hadir, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun, Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Datuk Seri Dr Noor Hisham Abdullah.

-NI-

Tinggalkan komen anda