Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Sukarelawan, NGO Bantu Lancarkan Pelaksanaan PICK

By 20 Mac 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Aini Hanapiah/Anuar Che Amat (Kangar) 

KANGAR, 20 Mac (MalaysiaAktif) – Sukarelawan dan badan bukan kerajaan (NGO) dapat membantu menjayakan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan memastikan masyarakat mendaftar bagi menerima vaksinasi.

Menurut Penolong Pengarah Kanan Promosi Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Perlis Mohd Faizal Rosli, taklimat ini diadakan bagi memberi penerangan dan penjelasan tentang vaksin COVID-19 dan kaedah-kaedah yang boleh digunakan untuk mendaftar sebagai penerima vaksin.

“Setakat ini hanya 18 peratus rakyat negeri ini yang telah berjaya mendaftar sebagai penerima vaksin.

“Oleh itu, dengan penglibatan NGO dan sukarelawan daripada pelbagai agensi ini diharap dapat membantu melancarkan proses pendaftaran vaksin,” katanya ketika menyampaikan Taklimat Pendaftaran Program Vaksinasi Negeri Perlis di Auditorium Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, di sini baru-baru ini.

Tambah beliau, program vaksinasi ini penting bagi mewujudkan imuniti kelompok, sekali gus membolehkan ekonomi negara kembali pulih.

“Walaupun kerajaan telah menyediakan beberapa kaedah pendaftaran dengan menggunakan aplikasi MySejahtera, laman sesawang https://www.vaksincovid.gov.my/, talian pendaftaran vaksinasi COVID-19 Kebangsaan 1800-888-828, namun golongan warga emas dan orang kurang upaya (OKU) masih memerlukan bantuan dari segi maklumat dan cara untuk mendaftar.

“Peranan semua pihak amat penting bagi memastikan tiada seorang pun yang tercicir untuk mendapatkan suntikan vaksin,” ujarnya lagi.

Faizal memaklumkan Jabatan Kesihatan Negeri Perlis telah membuka kaunter pendaftaran di Dewan Wawasan 2020 bagi membantu orang awam yang mempunyai masalah talian internet yang terhad, tidak dapat memuat naik aplikasi MySejahtera dan yang tidak pandai menggunakan telefon bimbit.

Pengerusi Perlis Volunteer Action (PVAC) Effendey Harun mengucapkan terima kasih kepada JKN yang telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan taklimat ini.

“Saya berharap taklimat yang diadakan ini, dapat merungkai segala kekeliruan dan membantu kami untuk memberi penerangan serta maklumat yang tepat kepada komuniti setempat mengenai vaksin COVID-19 dan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan.

“Perkongsian maklumat seumpama ini dapat membantu NGO dan sukarelawan untuk menyampaikan maklumat yang tepat kepada masyarakat dan seterusnya memberikan kesedaran tentang kebaikan mengambil suntikan vaksin yang bukan sahaja akan melindungi diri mereka tetapi juga ahli keluarga dan komuniti dari jangkitan wabak COVID-19,” katanya.

-NI-

Tinggalkan komen anda