Laporan/foto: Zuriatina Tamat/Muhammad Isa Ariffin (Kluang)
KLUANG, 29 Mac (Malaysiaaktif) – Tugas yang digalas seorang sukarelawan bukanlah sekadar suka dan rela namun ia adalah satu tanggungjawab besar kepada masyarakat terutama bagi mereka yang menjadi Sukarelawan Skuad Antidadah.
Menurut Pengerusi Skuad Antidadah Daerah Kluang A. Sani Palal, sukarelawan mempunyai tanggungjawab yang besar kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat.
“Kerja sukarelawan ini tidak berbayar dan kita lakukannya atas dasar keprihatinan dan kesedaran dalam diri untuk membantu masyarakat setempat memerangi penyalahgunaan dadah.
“Skuad ini akan menjadi mata dan telinga serta menyalurkan maklumat kepada AADK berkaitan lokasi penagihan dadah dan individu dipercayai terbabit gejala penyalahgunaan serta pengedaran bahan terlarang berkenaan, di samping bekerjasama dalam usaha merawat dan memulihkan penagih,” katanya ketika ditemui pada Kursus Latihan Kejurulatihan (TOT) Skuad Antidadah AADK Negeri Johor yang dilaksanakan secara atas talian di Bangunan Persekutuan Kluang, di sini semalam.
Pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kluang Zuraini Abd Rahman, berkata program sukarelawan ini telah lama diwujudkan dan kini ia dijenamakan semula kepada Skuad Antidadah.
“Di Daerah Kluang sahaja kami mempunyai seramai 1,149 sukarelawan yang berdaftar, malangnya hanya lima puluh orang yang benar-benar aktif dalam menggerakkan aktiviti di daerah ini dan banyak aktiviti dirancang akan laksanakan terutama gerak tumpu pada tiga buah mukim yang dikenalpasti sebagai kawasan berisiko iaitu Mukim Ulu Benut, Mukim Renggam dan Mukim Kluang.
“AADK Daerah Kluang kini giat mendaftarkan sukarelawan dengan membuka kaunter pendaftaran di ruang legar Bangunan Persekutuan Kluang setiap hari Ahad minggu pertama dan minggu ketiga, orang ramai yang berminat untuk menyertai Skuad Antidadah boleh mendaftar secara atas talian di laman sesawang https://skuad.adk.gov.my atau menghubungi AADK Daerah Kluang di talian 07-7733393 untuk sebarang maklumat lanjut,” katanya.
-NI-