Laporan/foto: Hazlinah Samsir/Shahvian Mohd Razali (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 20 Mac (Malaysiaaktif) – Meskipun Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan telah dilaksanakan dengan lebih daripada 367,000 orang telah menerima suntikan vaksin, masih terdapat masyarakat yang belum mendaftar untuk menerima suntikan ini berkemungkinan berpunca daripada maklumat tidak tepat yang diterima masyarakat.
Pegawai Perubatan Klinik Kinabutan Tawau Dr. Shahrizam Tahir, 28, menjelaskan masyarakat perlu bijak memilih maklumat untuk dijadikan sandaran dalam membuat keputusan.
“Usaha menyebar luas info tentang vaksin COVID-19 giat dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan masyarakat yang berilmu mampu membuat timbang tara sendiri dan saya yakin mereka yang berfikir secara rasional, tahu yang vaksin ini adalah selamat.
“Selain iklan dan maklumat yang disampaikan KKM melalui laman sosial rasmi, radio dan kaca televisyen, pihak klinik dan hospital juga turut membuat kempen secara lokal,” katanya yang ditemui sempena program tersebut, di sini baru-baru ini.
Menurut Shahrizam, pihaknya turut gigih berkempen bagi memastikan penduduk setempat tidak keciciran dalam mendapatkan vaksin tersebut.
“Pegawai-pegawai KKM juga sentiasa terbuka sekiranya penduduk memerlukan penjelasan atau pertanyaan berkenaan vaksin tersebut,” ujarnya.
Mengulas tentang kesan sampingan selepas menerima suntikan vaksin, Shahrizam berkata hanya merasa sedikit ketidakselesaan pada tempat suntikan dan berasa letih.
“Namun, orang ramai tidak perlu risau kerana ada anggota KKM yang akan memantau setiap penerima vaksin sekiranya terdapat sebarang kesan serius,” jelasnya.
Menceritakan pengalamannya menerima suntikan vaksin ini, jururawat di klinik sama Janeffer Thomas, 31, memaklumkan keputusan untuk mendapatkan suntikan ini diambil setelah menggali ilmu menerusi sumber-sumber yang sahih dan dipercayai.
“Pada awalnya, saya berbahas sesama rakan sekerja mengenai keselamatan vaksin COVID-19 itu, kemudian saya melayari laman sesawang rasmi kerajaan untuk mendapatkan info serta menonton rancangan televisyen yang menjelaskan mengenai vaksin itu sendiri.
“Ternyata, apabila mempunyai ilmu yang betul dari sumber yang sahih, kita akan lebih yakin untuk mengambil sesuatu tindakan,” kongsinya.
Harapan Janeffer, agar lebih ramai masyarakat mendaftar untuk mendapatkan vaksin COVID-19 agar imuniti kelompok 85 peratus rakyat Malaysia divaksinkan dapat dicapai.
“Selepas 11 hari menerima suntikan, rasa lenguh pada bahagian lengan yang disuntik namun ia bersifat sementara sahaja.
“Tetapi pada saya, rasa lenguh itu tidak dapat menandingi kebaikan dan manfaat yang kita terima, malah menerima vaksin ini bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi untuk anak-anak, keluarga dan orang sekeliling kerana ia turut berfungsi melindungi orang lain,” katanya.
-RI