Laporan/foto: Nurezzaty Razimi/Latifah Salleh (Muar)
MUAR, 15 Mac (Malaysiaaktif) – ‘Wanita Bangkit Mendepani Cabaran’yang merupakan tema Hari Wanita Sedunia pada tahun ini telah disambut pada 8 Mac 2021 yang lalu sebagai menghargai jasa dan pengorbanan mereka.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor Zaiton Ismail, wanita pada hari ini, mampu mempaperkan kehebatan luar jangkaan dan tidak lagi boleh dipandang enteng serta direndahkan martabat mereka.
“Stigma yang mengehadkan peranan wanita dalam bidang tertentu sebenarnya tidak lagi relevan berikutan peranan wanita semakin menyerlah, bukan sahaja dalam institusi kekeluargaan tetapi juga merangkumi aspek pembangunan ekonomi negara.
“Kini, wanita juga mampu mencipta nama di dalam negara mahupun antarabangsa malahan mereka mampu menghasilkan sesuatu yang di luar jangkaan,” katanya lagi ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perhimpunan dan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke 65 – Women’s Institute (WI) di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini, baru-baru ini.
Tambah beliau, kerajaan negeri sentiasa menyokong segala usaha golongan wanita untuk keluar dari zon selesa, berdikari dan mencari pendapatan sendiri dengan menyediakan pelbagai inisiatif sokongan.
“Centre of Suri Johor merupakan program sokongan untuk membantu golongan ibu tunggal dan berpendapatan rendah dalam memastikan golongan tersebut dapat merasai limpahan ekonomi negeri Johor.
“Dahulunya ia dikenali sebagai Pusat Jaya yang berperanan sebagai pusat pemasaran dan pengumpulan produk usahawan Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim (YPKDT) yang turut menganjurkan pelbagai program sokongan seperti Women Income Generating Skills Projects (WINGS), Skim Bantuan Peralatan Perniagaan (SKIPP) dan Kursus Inspirasi Usahawan Berfokus yang melibatkan enam buah Centre of Suri Johor di daerah Johor Bahru, Batu Pahat, Segamat dan Kluang,” ujarnya.
Zaiton berkata, kerajaan negeri melalui YPKDT telah memperkenalkan satu lagi inisiatif bagi memberi galakkan dan dorongan untuk golongan wanita untuk menjawat pelbagai jawatan penting di sektor kerajaan mahupun swasta yang dikenali sebagai Pesona Wanita Profesional.
“Objektif utama inisiatif ini diperkenalkan adalah untuk mengenalpasti dan mengiktiraf sumbangan wanita professional kelahiran negeri Johor dalam pelbagai bidang selain mencapai hala tuju dasar-dasar kerajaan dan mewujudkan think tanker dalam menanggani isu–isu wanita bersama pelbagai pihak,” ujarnya lagi.
Ahli Jawatankuasa Cawangan Sri Mahligai Muar, Suraya Ismail, 56, yang ditemui meluahkan perasaan gembira dan teruja beliau kerana majlis ini dapat berjalan dengan lancar walaupun perlu memenuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
“Saya berharap semua pihak dapat bersama-sama menggembleng tenaga dalam menjayakan agenda ini agar semua wanita dapat diperkasakan secara inklusif.
“Dengan pelbagai inisiatif yang diberikan oleh kerajaan negeri ini, akan lebih ramai wanita akan bangkit untuk mendepani cabaran semasa,” katanya.
Letchimy V. Kanan, 71, dari Cawangan Mersing berkata beliau menyokong penuh pelbagai inisiatif yang disediakan oleh kerajaan negeri dalam meraikan pencapaian wanita dari pelbagai bidang.
Pada majlis ini turut diadakan pelbagai pertandingan seperti kategori kerja tangan, masakan, jahitan dan penulisan karangan di mana para pemenang yang dinobatkan sebagai johan setiap kategori akan bertanding di peringkat kebangsaan.
-NI-