Laporan/foto: Rahman Ishak (Putrajaya)/Infografik McDonald’s Malaysia
PUTRAJAYA, 16 April (Malaysiaaktif) – Syarikat rangkaian makanan segera McDonald’s Malaysia sekali lagi mengiktiraf guru-guru di seluruh negara yang memberi inspirasi dalam mendidik dan membentuk pelajar menerusi Anugerah Guru Inspirasi (AGI) yang memasuki tahun kelima penganjurannya.
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia Azmir Jaafar, berkata seramai 25 guru yang terpilih akan menerima hadiah wang tunai berjumlah RM5,000 manakala pencalonnya pula akan menerima baucar hadiah syarikat bernilai RM200 sebagai tanda penghargaan.
“Pada tahun lepas, guru-guru di seluruh Malaysia telah menyesuaikan diri dan menunjukkan kebijaksanaan, daya tahan dan kekuatan ketika mereka mengharungi tempoh mencabar yang belum pernah berlaku sebelum ini, bukan sahaja menggalas tanggungjawab sebagai guru, malah lebih daripada itu.
“Oleh itu, sebagai menghargai semangat dan kegigihan mereka, kami ingin terus meraikan mereka dengan AGI kali kelima ini di mana pihak syarikat komited dalam memastikan guru-guru sentiasa rasa dihargai dan mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana membuat perubahan positif dalam kehidupan pelajar,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.
Menurut Azmir, sejak penularan pandemik ini, peranan mereka semakin penting berikutan cabaran yang dihadapi semasa peralihan kepada pembelajaran dalam talian.
“Sebagai tanda penghargaan bagi pengorbanan mereka, kami mengajak pelajar, ibu bapa dan guru-guru di luar sana untuk menyertai kami dengan mencalonkan seorang guru bagi Anugerah Guru Inspirasi ini.
“Pencalonan telah dibuka pada 2 April lalu dan akan berakhir pada Ahad (18 April) ini melalui pautan https://www.mcdonalds.com.my/anugerahguruinspirasi dan kepada mereka yang ingin berkongsi kisah inspirasi guru luar biasa sama ada dalam Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris atau Bahasa Cina, bolehlah hantarkan pencalonan masing-masing,” katanya.
-RI