Laporan/foto: Zuriatina Tamat (Kluang)
KLUANG, 3 April (Malaysiaaktif) – Penubuhan pasukan Mediator Komuniti (MK) merupakan satu usaha Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dalam memelihara keharmonian negara.
MK memainkan peranan penting dalam menyelesaikan masalah atau konflik antara pihak yang bertelagah, memulihkan hubungan antara mereka serta membantu mencari penyelesaian yang boleh diterima oleh pihak-pihak berkenaan.
Penyelaras MK Jabatan Perpaduan Negeri Johor Fadlilawati Masran, berkata Mediator Komuniti merupakan sukarelawan yang akan membantu menyelesaikan kes-kes dalam komuniti setempat.
“Mereka terdiri daripada pelbagai latar belakang di mana jika pada peringkat komuniti kebiasaannya mereka juga adalah ahli atau jawatankuasa Komuniti Rukun Tetangga (KRT) atau Skim Rondaan Sukarelawan (SRS).
“Antara kelebihannya adalah khidmat nasihat diberikan tanpa sebarang bayaran, dapat menjimatkan kos perundangan dan juga masa,” katanya ketika ditemui pada Pameran dan Jualan Produk Komuniti Rukun Tetangga (KRT) di Dewan Tunku Ibrahim Ismail Dataran Tasik Kluang, di sini hari ini.
Tambah beliau, melalui pemerhatian yang dibuat masih ramai yang memilih jalan sukar dengan menggunakan khidmat guaman yang mengenakan kos tinggi dan memakan masa yang lama untuk menyelesaikan kes-kes mereka.
“Berkemungkinan masih ramai yang tidak tahu mengenai kewujudan Mediator Komuniti ini dan kurang yakin tentang kerahsiaan kes mereka.
“Bagi orang ramai yang ingin menggunakan khidmat MK, anda tidak perlu risau kerana kami sangat mementingkan kerahsiaan dalam membantu menyelesaikan kes-kes yang dipertanggungjawabkan,” ujarnya.
Fadlilawati berkata, orang ramai yang memerlukan khidmat bantuan MK boleh berkunjung ke Pejabat Perpaduan yang terdekat untuk maklumat lanjut.
-NI-