Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Pelabur Asing Terus Yakin Terhadap Malaysia – MITI

By 20 April 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 20 April (Malaysiaaktif) – Kesediaan syarikat gergasi dunia untuk melabur di negara ini membuktikan keyakinan pelabur asing terhadap kemampuan Malaysia menjadi hub utama mereka.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata ia juga membuktikan pendirian Malaysia untuk menarik pelaburan yang berkualiti, bernilai tinggi dan mempunyai impak yang besar dalam negara.

“Saya sentiasa menyatakan pelabur-pelabur asing masih kekal keyakinan mereka untuk meletakkan pelaburan di Malaysia dan menjadi hub utama mereka.

“Hari ini terbukti apabila Microsoft telah bersetuju untuk meletakkan pelaburan yang besar dan melatih sejuta rakyat Malaysia dalam bidang teknologi sehingga tahun 2025.

“Ini satu perkembangan yang cukup baik dalam usaha kita menjayakan MyDigital yang dilancarkan Perdana Menteri baru-baru ini,” katanya kepada media selepas menunaikan Solat Isyak dan Terawih bersama Perdana Menteri di Masjid Jamek Al-Amaniah Batu Caves, di sini semalam.

Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, Malaysia tidak mahu pelaburan yang bersandarkan kepada labour intensive yang menjadi tumpuan negara selama ini menyebabkan terlalu bergantung kepada tenaga kerja asing.

(Dari kanan) Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bermesra dengan jemaah selepas selesai menunaikan Solat Isyak dan Terawih di Masjid Jamek Al-Amaniah, Batu Caves semalam.

(Dari kanan) Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bermesra dengan jemaah selepas selesai menunaikan Solat Isyak dan Terawih di Masjid Jamek Al-Amaniah, Batu Caves semalam.

“Ini harus dihentikan dan segera beralih kepada pelaburan yang berteknologi tinggi serta berkualiti supaya ia dapat mewujudkan pekerjaan untuk rakyat dengan pendapatan yang tinggi di samping menyediakan tenaga kerja berkemahiran dan bakat-bakat tertentu.

“Usaha Microsoft yang kerjasama dengan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) seperti Celcom dan Petronas merupakan perkembangan baik kerana ia akan memindahkan kemahiran serta teknologi kepada anak-anak muda kita.

“Hari Rabu ini (esok) saya akan membentangkan kertas kabinet mengenai Dasar Pelaburan Baharu yang akan kita laksanakan serta merta,” jelas beliau.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima pelaburan berjumlah RM4 bilion daripada syarikat gergasi global, Microsoft dalam tempoh lima tahun akan datang.

Microsoft juga menyatakan kesediaan untuk membina pusat data serantau pertama di Malaysia yang dijangka berupaya menjana pendapatan baharu sehingga RM19 bilion.

-RI

Tinggalkan komen anda