Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Perlis Mulakan Fasa Kedua Imunisasi COVID-19 Kebangsaan

By 20 April 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Anuar Che Amat (Kangar)

KANGAR, 20 April (Malaysiaaktif) – Seramai 903 orang penerima vaksin fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di negeri ini telah menerima suntikan tersebut di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Wawasan 2020, mulai semalam.

Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Perlis Dr Sirajuddin Hashim, suntikan bagi fasa tersebut diberikan kepada warga emas yang berusia 60 tahun ke atas serta kumpulan rentan dengan masalah kesihatan, selain orang kurang upaya (OKU).

“Proses pemberian vaksinasi ini mengikut masa seperti yang telah ditetapkan di dalam aplikasi MySejahtera setiap penerima.

“Secara keseluruhannya, fasa kedua ini kita anggarkan seramai 80,000 orang akan menerima vaksin di negeri ini,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemberian Vaksinasi Dewan Wawasan 2020, di sini.

Tambah beliau, untuk fasa ini Jabatan Kesihatan Negeri telah menyediakan sebanyak 12 bilik untuk suntikan vaksin dan ia mampu menampung seramai 1,000 orang penerima setiap hari.

“Kita juga turut menyediakan enam katil kecemasan sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini terhadap penerima vaksin yang mana terdapat seramai 90 orang staf dari Jabatan Kesihatan yang akan bertugas untuk fasa kedua.

“Kita juga mendapat bantuan tenaga kerja dari Sukarelawan Jabatan Belia dan Sukan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA ),” ujarnya.

Sirajuddin juga memaklumkan bahawa terdapat perancangan dari Jabatan Kesihatan untuk membuka sebuah lagi pusat vaksinasi di Dewan Seri Melati selepas sambutan hari raya nanti.

Tinjauan sekitar dewan, mendapati rata-rata penerima yang hadir mematuhi prosuder operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

-NI-

Tinggalkan komen anda