Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Pembukaan Sektor Ekonomi Beri Sinar Peniaga Sayuran Tanah Tinggi Kundasang

By 7 April 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Anis Hayati Tom (Kota Kinabalu)

KUNDASANG, 7 April (Malaysiaaktif) – Seramai 150 pemilik gerai sayuran tanah tinggi mula aktif menjalankan perniagaan apabila kerajaan negeri membenarkan pergerakan merentas daerah mengikut zon bermula 5 Mac yang lalu.

Kundasang yang terkenal dengan destinasi pelancongan terletak dalam daerah Ranau yang termasuk dalam Zon 1 membabitkan Kota Kinabalu, Kota Belud, Ranau, Tuaran, Penampang, Putatan dan Papar.

Pengerusi Persatuan Pemborong dan Peruncit Sayur Bumiputera Kundasang, Mariana Taliban, 54, berkata pemilik gerai kini giat memasarkan produk sayuran tanah tinggi bagi merancakkan kembali ekonomi penduduk di pekan Kundasang.

Mariana Taliban.

Mariana Taliban.

“Para peniaga dan pembekal sayuran amat teruja untuk mula berniaga semula kerana sepanjang PKP, gerai sayuran mereka terpaksa ditutup bagi mengelak penularan COVID-19.

“Rata-rata mereka amat bersyukur kerana dapat menjual semula walaupun pendapatan mereka tidak selumayan dahulu kerana masa operasi perniagaan telah dihadkan sehingga pukul enam petang sahaja berbanding 10 malam pada sebelum ini.

“Sebagai pengerusi persatuan, saya menggalakkan para peniaga untuk mengambil inisiatif mencari pemborong yang boleh memasarkan sayur ke Kota Kinabalu selain menjual pada separuh harga berbanding harga asal bagi mengelakkan lambakan bekalan sayuran di pasaran,” katanya ketika ditemui di Dataran Sayuran Kundasang, di sini semalam.

Sementara itu, peniaga keropok tempatan Nuraini Saiman, 60, turut merasa lega apabila sektor perniagaan kembali di benar beroperasi setelah hampir lapan bulan tidak memperolehi pendapatan melalui perniagaan beliau.

Sepanjang pelaksanaan PKP dengan larangan kepada aktiviti perniagaan, hasil jualan keropoknya mengalami kerugian di antara RM300 sehingga RM500 sebulan.

“Sebaik sahaja PKP dilaksanakan, kami terus menutup gerai dan bekalan keropok yang ada tidak dapat dijual sehingga tarikh luput.

“Saya berharap agar kita sama-sama membantu mematuhi segala SOP yang disarankan oleh kerajaan agar pandemik ini berakhir dengan segera dan kita boleh menjalankan aktiviti harian dan perniagaan seperti sedia kala,” ujarnya.

Nuraini Saiman.

Nuraini Saiman.

Bagi peniaga bunga tanah tinggi Felicia Misol, 41, turut menzahirkan rasa syukur terhadap kelonggaran pergerakan yang diberikan oleh pihak kerajaan negeri dengan memperkenalkan daerah dalam zon yang sama bagi memasarkan produk mereka.

“Para peniaga di sini sentiasa ternanti-nanti kehadiran pelancong tempatan setiap hujung minggu terutama penggemar bunga viral seperti bunga ati-ati dan keladi.

“Kami mengambil kesempatan yang diberikan untuk membiak dan menambah baka bunga yang ada, dengan harapan apabila pandemik berakhir, tanaman tersebut boleh terus dipasarkan.

“Saya juga amat berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana menyalurkan Bantuan Perihatin Nasional (BPN), yang sebahagiannya dapat saya jadikan modal untuk membeli baka dan benih bagi mempelbagaikan lagi koleksi jualan bunga,” jelas beliau.

Felicia Misol.

Felicia Misol.

-RI

Tinggalkan komen anda