Laporan/foto: Mohamad Fikri Johari (Larut Matang dan Selama)
TAIPING, 10 April (Malaysiaaktif) – Bandar Warisan Taiping bakal diiktiraf sebagai Bandar Mesra Usia menjelang tahun 2030.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi, merakamkan ucapan terima kasih kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia dan Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) atas inisiatif untuk menjadikan Taiping sebagai Bandar Mesra Usia berlandaskan garis panduan daripada Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).
“Saya menzahirkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) sejurus termeterainya memorandum persefahaman ini dengan harapan dapat meningkatkan usaha-usaha memartabatkan hasrat ini.
“Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)selaku sebagai sebuah agensi barisan hadapan Majlis Perbandaran Taiping perlu bergerak bagi mempersiapkan langkah untuk menghadapi cabaran semasa,” ujarnya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Survei dan Pertukaran Memorandum Persefahaman Majlis Perbandaran Taiping dengan Universiti Putra Malaysia di sebuah hotel, di sini semalam.
Sementara itu, menurut Nolee, hasrat untuk menjadikan Taiping sebagai Bandar Mesra Usia berlandaskan piawaian WHO bermula daripada hasil Mesyuarat Town-Hall yang telah dianjurkan oleh MPT pada 21 Februari 2016 dengan di mana Taiping telah dipilih sebagai perintis untuk menjalankan kajian tersebut.
“Jabatan Warisan Negara, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia telah mencalonkan Pasar Sehari atau Pasar Sari untuk disenaraikan sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara di bawah kategori Representative List of Intangible Cultural Heritage of Humanity, UNESCO.
“Pihak MPT juga telah mencadangkan Pekan Sehari Changkat Jering sebagai wakil daerah Larut Matang dan keputusan tersebut akan diketahui pada November 2022 kelak,” katanya.
~RJ~