Laporan/foto: Noor Aini Hanapiah/Anuar Che Amat (Kangar)
KANGAR, 10 April (MalaysiaAktif) – Perlis antara tiga negeri yang dipilih menyertai Projek Rintis Bayaran Bantuan Tanpa Tunai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang dikenali sebagai JKMpay dalam tempoh enam bulan bermula 1 Februari sehingga 31 Julai 2021.
Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun selain JKM di negeri ini, turut terlibat Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Kubang Pasu, Kota Setar dan Melaka Tengah.
“Penerima bantuan bulanan JKM tidak perlu lagi ke pejabat agensi itu mendapatkan bantuan bulanan masing-masing pada masa depan.
“Projek ini merupakan kerjasama strategik bersama Bank Islam Malaysia Berhad bagi tempoh enam bulan bermula dari 1 Februari yang lalu,” katanya lagi ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Projek Rintis Pembayaran Bantuan Bulanan JKM Secara Tanpa Tunai (Cashless) di Hotel Putra Regency Kangar, di sini, semalam.
Tambah beliau, sehingga 1 April 2021 seramai 650 penerima bantuan baru telah menyertai projek rintis ini.
“Melalui kaedah ini, penerima bantuan akan menerima 50 peratus daripada jumlah kadar bantuan yang diluluskan dan akan dikreditkan ke dalam Kad ATM/Debit Bank Islam manakala 50 peratus lagi akan dimasukkan ke dalam kad cashless JKMPay.
“Sebagai permulaan, penerima bantuan hanya boleh berbelanja untuk barang-barang keperluan asas dan harian serta ubat-ubatan di kedai-kedai yang berdaftar dengan Bank Islam sahaja,” ujarnya.
Rina berkata penggunaan kad ini untuk pembelian yang tidak tersenarai dalam maklumat barang keperluan adalah tidak dibenarkan.
“Saya berharap agar Projek Rintis Pembayaran Bantuan Bulanan JKM Secara Tanpa Tunai (Cashless) ini dapat diperluaskan ke seluruh negara dan kepada semua penerima bantuan JKM yang layak seiring dengan keperluan semasa serta perubahan norma baru.
“Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui JKM komited untuk menambah baik sistem perkhidmatan penyampaian bantuan dari semasa ke semasa selari dengan perkembangan teknologi dan peredaran zaman khususnya untuk aktiviti pembelian dalam talian dan transaksi tanpa tunai,” ujarnya lagi.
Majlis Pelancaran Projek Rintis Pembayaran Bantuan Bulanan JKM Secara Tanpa Tunai (Cashless) telah disempurnakan oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kebajikan dan Bantuan Bencana, Hubungan dan Kerjasama Sempadan Ruzaini Rais yang mewakili Menteri Besar Perlis dan Ketua Setiausaha KPWKM Dr. Maziah Che Yusoff.
-NI-