Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Usah Takut Dengan Vaksin – Dr. Shahrul

By 13 April 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nazira Naszeri/Unit Foto JaPen Johor (Johor)

PONTIAN, 13 April (Malaysiaaktif) – Kerajaan menyasarkan 70 hingga 80 peratus masyarakat atau komuniti setempat menerima suntikan vaksin COVID-19 dalam program Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan berakhir hujung tahun ini.

Walau bagaimanapun, masih terdapat segelintir rakyat yang masih ragu-ragu untuk mendaftar dan mengambil suntikan vaksin kerana sering dimomokkan dengan kesan sampingannya.

Menurut Ketua Unit Penyakit Tidak Berjangkit Pejabat Kesihatan Daerah Pontian Dr. Shahrul Azrina, walaupun seseorang itu akan mendapat kesan sampingan selepas disuntik vaksin, namun kebarangkaliannya adalah masih rendah.

“Daripada sejuta orang yang menerima suntikan vaksin, hanya 11 orang sahaja yang mengalami kesan sampingan.

“Setakat ini, tiada lagi yang mengalami kesan sampingan yang teruk, tiada kematian yang dilaporkan dan kebiasannya kesan yang paling teruk hanya berlaku selepas 15 minit suntikan,” katanya ketika menyampaikan Taklimat Isu Semasa (Pengurusan Pandemik COVID-19) di Taman Saujana Pontian, di sini baru-baru ini.

Tambah beliau lagi, mana-mana individu yang mempunyai masalah kesihatan yang kronik adalah lebih digalakkan untuk mengambil vaksin.

“Para pesakit kencing manis, kalau tidak dikawal akan mudah mendapat jangkitan begitu juga pesakit penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD)

“Sesiapa yang mempunyai masalah paru-paru berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi COVID-19 kerana wabak ini akan menyerang paru-paru,” ujarnya.

Shahrul menjelaskan bahawa pesakit COVID-19 hanya akan diberi vaksin selepas tiga bulan dijangkiti jangkitan virus tersebut kerana apabila pesakit terinfeksi dengan virus COVID-19, tubuh badan mereka akan menghasilkan antibodi sendiri dan dikhuatiri antibodi tersebut akan bercelaru dengan vaksin jika diambil.

“Saya amat berharap masyarakat akan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP), memakai pelitup muka, mematuhi penjarakan fizikal, elakkan 3S (Sesak, Sempit dan Sembang Dekat) dan amalkan 3W (Wash, Wear and Warn).

“Marilah kita bersama-sama lindungi diri, keluarga dan masyarakat dengan mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19,” katanya.

-NI-

Tinggalkan komen anda