Skip to main content
Berita TimurTerengganu

Usaha Dekati Rakyat Dapat Respon Positif

By 5 April 2021Tiada komen4 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nurul Saidatul Aida Sidek/Shuhaimi Ahmad (Terengganu)

BESUT, 5 APRIL (Malaysiaaktif) – Penganjuran program Teganu Prihatin : Merintis Komuniti Berinformasi 2021 di sini berjaya mendekatkan kerajaan dengan rakyat walaupun berada jauh di pedalaman.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri Terengganu, Mohd Nor Hamzah, berkata matlamat program ini bertujuan mewujudkan ukhwah yang erat antara kerajaan dan penduduk selain menyebarluas maklumat sahih serta menjelaskan isu-isu yang berbangkit berkenaan pelaksanaan dasar-dasar baharu yang diperkenalkan oleh kerajaan.

Katanya, selain berjaya menyampaikan maklumat yang tepat dan sahih, program dua hari itu turut mendedah serta memberi kesedaran mengamalkan pembudayaan norma baharu dan penerimaan vaksin COVID-19 kepada masyarakat pulau.

Mohd Nor menampal poster vaksin COVID-19 di sebuah resort di Pulau Perhentian sempena program Teganu Prihatin.

Mohd Nor menampal poster vaksin COVID-19 di sebuah resort di Pulau Perhentian sempena program Teganu Prihatin.

“Pulau Perhentian adalah kawasan tumpuan pelancong-pelancong bagaimanapun penduduk di sini masih kurang mempraktikkan pembudayaan norma baharu seperti yang disarankan kerajaan dan situasi ini amat membimbangkan kerana mereka berisiko untuk dijangkiti virus COVID-19,” katanya ketika berucap merasmikan program Teganu Prihatin : Merintis Komuniti Beriniforamsi 2021 di sini, baru-baru ini.

Program ini dianjurkan oleh Jabatan Penerangan (JaPen) Negeri Terengganu dengan kerjasama jabatan-jabatan persekutuan yang lain iaitu Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) dan Pejabat Daerah Besut serta Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut.

Antara program yang telah disusun ialah Tazkirah Influencer@JaPen, Layar Bestari (Wayang Pacak), gotong-royong, santunan kasih (lawatan ke rumah nelayan), kenduri rakyat dan WalkAbout (edaran bahan penerbitan dan risalah) di sekitar Pulau Perhentian Kecil dan Pulau Perhentian Besar.

Sesi taklimat isu-isu semasa telah disampaikan oleh JaPen Negeri Terengganu, MKN, KEMAS, JKNT dan AADK dalam menangani dakyah, fitnah, propaganda, penyalahgunaan dadah, jenayah sosial dan salah maklumat yang berlaku dalam kalangan masyarakat serta menerangkan langkah-langkah dan inisiatif kerajaan dalam membendung gejala COVID-19 serta menggesa rakyat menyertai Program Vaksinasi Kebangsaan.

Mohd Nor berkata, Terengganu adalah antara negeri yang terendah mencatatkan peratusan pendaftaran vaksin dan masih berada di tahap yang tidak memuaskan.

“Kerana segelintir daripada kita masih berfikiran tertutup dan beranggapan bahawa pengambilan suntikan imunisasi akan memudaratkan diri,” katanya.

Sehubungan itu, beliau amat berharap agensi yang bertanggungjawab meneruskan usaha mendekati orang ramai agar menyertai program Imunisasi Kebangsaan yang sedang diadakan sekarang.

Tambahnya, usaha yang dilakukan oleh JaPen Negeri Terengganu dengan membuka kaunter pendaftaran vaksin COVID-19 amat tepat.

Penduduk Pulau Perhentian, Besut mendaftar untuk menyertai program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan pada program Teganu Prihatin di Pulau Perhentian, Besut.

Penduduk Pulau Perhentian, Besut mendaftar untuk menyertai program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan pada program Teganu Prihatin di Pulau Perhentian, Besut.

Selain JaPen Negeri Terengganu, SPR Terengganu turut menyediakan kaunter pendaftaran pemilih manakala JPN Negeri Terengganu membuka kaunter untuk membuat kad pengenalan.

Inisiatif ini diambil sebagai pendekatan produktif JPN dalam memastikan setiap penduduk di Malaysia yang layak, mendapat dokumen pengenalan diri yang sah dan sekaligus membolehkan mereka menikmati pelbagai kemudahan yang ditawarkan oleh kerajaan.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Azbi Salleh menyempurnakan majlis perasmian penutup program itu dan beliau turut menyertai penduduk pulau bergotong-royong membersihkan kawasan perkampungan.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri Kuala Besut, Azbi Salleh (kiri) dan Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, Ahmad Ammar Othman (kanan) bersama penduduk kampung menyertai gotong royong membersih kawasan pulau pada program Teganu Prihatin di Pulau Perhentian, Besut.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri Kuala Besut, Azbi Salleh (kiri) dan Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, Ahmad Ammar Othman (kanan) bersama penduduk kampung menyertai gotong royong membersih kawasan pulau pada program Teganu Prihatin di Pulau Perhentian, Besut.

Turut hadir ialah Pengarah JaPen Negeri Terengganu, Ahmad Ammar Othman.

-ii-

Tinggalkan komen anda