
Foto: Infografik KKM
PUTRAJAYA, 2 Mei (Malaysiaaktif) – Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi hantaran di laman Twitternya memaklumkan kes positif baharu COVID-19 semalam mencatatkan 2,881 kes berbanding 3,788 kes kelmarin.
Katanya Selangor kekal merekodkan jumlah kes tertinggi iaitu 759 kes diikuti Sarawak (445) dan Kelantan (442). Perlis pula menjadi negeri tunggal tanpa jangkitan semalam, apabila mencatatkan sifar kes baharu COVID-19.
Dalam kenyataan medianya, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 2,462 kes sembuh dicatat menjadikan jumlah kumulatifnya 380,442 kes manakala kes aktif kini 29,631.
Katanya sejumlah 337 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 176 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan manakala terdapat pertambahan 15 kematian menjadikan jumlah keseluruhan angka korban akibat wabak itu kini 1,521 orang.
Jelasnya terdapat 14 kluster baharu yang turut dikenal pasti semalam melibatkan masing-masing empat kluster komuniti, kluster tempat kerja, dan kluster sektor pendidikan termasuk satu kluster institusi pendidikan Kementerian Pendidikan (KPM) serta dua kluster keagamaan.
Kluster komuniti berkenaan ialah Kluster Sungai Nirai, Sarawak; Kluster Umas, Sabah; Kluster Seri Jati, Melaka dan Kluster Jalan Sepat di Perak, manakala kluster tempat kerja iaitu Kluster Jalan Garuda, Johor; Kluster Jalan Sungai Sembilang, Selangor; Kluster Jalan Kilang Dua, Sabah dan Kluster Durin, Sarawak.
Kluster keagamaan pula melibatkan Kluster Sebatu dan Kluster Air Budi di Melaka; manakala Kluster Lestari Perdana Tujuh, Selangor dan Kluster Saujana, Terengganu pula berkait dengan kategori kluster pendidikan lain; Kluster Persiaran Sinaran Ilmu, Johor (kluster pendidikan tinggi); dan Kluster Long Jegan, Sarawak (kluster institusi pendidikan KPM).
— BERNAMA