
Foto: Infografik KKM
PUTRAJAYA, 27 Mei (Malaysiaaktif) – Kes baharu COVID-19 di Malaysia terus melonjak kepada 7,478, sekali lagi merekodkan angka tertinggi sejak pandemik itu dikesan di negara ini pada Januari tahun lepas.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi hantaran dalam laman Twitter memaklumkan, Selangor kekal sebagai negeri mencatat kes harian tertinggi dengan 2,455 kes, diikuti Kuala Lumpur (760), Sarawak (640), Johor (587), Kelantan (547), Kedah (542) dan Pulau Pinang (420).
Selain itu, Negeri Sembilan merekodkan 370 kes, Perak (264), Melaka (230), Sabah (229), Terengganu (177), Pahang (171), Labuan (49), Putrajaya (29) dan Perlis (lapan).
Kes harian tertinggi negara sebelum ini dicatat kelmarin dengan 7,289 kes.
Terdahulu, Dr Noor Hisham berkata setakat 13 Syawal atau 25 Mei, sebanyak 12 kluster komuniti (subkluster berkaitan sambutan hari raya) dikesan melibatkan tujuh negeri yang menjangkiti 470 kes.
Menurut infografik yang dikongsikan, Sabah didapati mempunyai empat kluster, Kelantan dan Labuan masing-masing dua kluster, manakala Pahang, Pulau Pinang, Sarawak dan Selangor masing-masing satu kluster.
Empat kluster di Sabah ialah Kluster Melikal, Kluster Deluxe, Kluster Abaka dan Kluster Muhibbah Dua, manakala di Kelantan (Kluster Kampung Pangkal Payung, Kluster Kepulauan Tumpat) dan Labuan (Kluster Simpang Sahari dan Kluster Patau-Patau).
Selain itu, Pahang dikesan terdapat Kluster Jalan Dara; Pulau Pinang (Kluster Padang Lalang Dua); Sarawak (Kluster Taman Sourabaya Indah) dan Selangor (Kluster Jalan Tahir Manan).
“Sebanyak 2,541 kes telah disaring, satu kes disahkan meninggal dunia melibatkan Kluster Jalan Tahir Manan di Selangor dan dua kes ICU (Unit Rawatan Rapi) melibatkan Kluster Simpang Sahari di Labuan. Jumlah ini dijangka bertambah dan mungkin melibatkan lebih banyak negeri…,” katanya.
Dalam kenyataan media pula, Dr Noor Hisham memaklumkan daripada jumlah kes baharu itu, lima adalah kes import manakala 7,473 lagi melibatkan penularan dalam negara.
Selain itu, katanya sebanyak 4,665 kes sembuh dicatat menjadikan jumlah kumulatifnya 464,727 kes manakala kes aktif kini 66,208.
Jumlah kematian akibat pandemik itu meningkat kepada 2,432 selepas 63 kematian yang dilaporkan melibatkan mangsa yang berumur lingkungan 20 hingga 94 tahun.
Beliau juga memaklumkan sebanyak 756 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 377 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
Dr Noor Hisham berkata sebanyak 22 kluster baharu dikesan dengan 13 kluster membabitkan penularan di tempat kerja, enam melibatkan komuniti dan tiga berkaitan keagamaan.
Kluster tempat kerja yang direkodkan ialah Kampung Tun Abdul Razak, Jalan Bersatu dan Meranti Jaya 2 di Selangor; Jalan Sukma (Sarawak); Jalan Bukit Satu, Jalan Satu Ayer Hitam, Jalan Tengar Industri dan Jalan Temenggung Dua di Johor; Industri Zon Dagang Satu, Perusahaan Maju Sepuluh dan Jalan Cassia Selatan Lima di Pulau Pinang; Jalan IKA (Perak); dan Industri Kampung Tersang (Pahang).
Kluster komuniti pula ialah Kampung Semerah Padi (Sarawak); Bandar Lama Machang dan Kampung Kenjong (Kelantan); Sungai Pukul dan Kauran Durok (Sabah); dan Delima Raya (Pahang), manakala kluster berkaitan keagamaan ialah Lestari Mewah (Selangor); Jalan Harmoni Utama (Johor); dan Chat Lipis (Pahang).
— BERNAMA