
Laporan/foto: Juslie Bacle (Kota Kinabalu)
PITAS, 5 Mei (Malaysiaaktif) – Kerajaan memperuntukkan kos yang tinggi dalam pembelian vaksin demi kesejahteraan rakyat dalam memastikan kejayaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK)
Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Seri Ruddy Awah, berkata usaha itu bagi memastikan rakyat kekal sihat dan menjalani hidup dengan ceria.
“Masyarakat perlu memberi kerjasama dengan mendaftar sebagai penerima vaksin sama ada melalui aplikasi MySejahtera ataupun dengan hadir ke pusat-pusat kesihatan berhampiran untuk didaftarkan.
“Kerajaan memperuntukkan kos yang tinggi bagi pembelian vaksin demi memastikan rakyat kekal sihat dan menjalani hidup dengan penuh keceriaan, maka saya menyeru orang ramai agar segera mendaftar untuk mendapatkan vaksin samada melalui MySejahtera atau secara manual di mana-mana pusat kesihatan,” jelasnya.
Ruddy memaklumkan jumlah pendaftaran penerima vaksin bagi daerah itu masih terlalu rendah dan mahu program menggalakkan pendaftaran itu dipergiatkan lagi terutama bagi kawasan luar bandar yang capaian jalur lebar tidak memuaskan.
“Sekurang-kurangnya, program murni ini dapat meningkatkan peratus pendaftaran penerima vaksin di daerah ini sekali gus menjayakan PICK,” katanya kepada media di Kg. Sungai Eloi, di sini semalam.
Sementara itu, Pegawai Penerangan Daerah Jimin Pangut, mendedahkan program tersebut dianjurkan dengan kerjasama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Pitas dan Pejabat Penerangan Daerah Pitas.
“Selain ceramah, pameran dan agihan bahan risalah, program diisi dengan aktiviti pemeriksaan suhu badan dan pendaftaran vaksinasasi COVID-19 secara manual,” katanya.
-ZS