
Laporan/foto: Shaharuddin Daud/Hamidah Md Drus (Kuala Pilah)
KUALA PILAH, 5 Mei (Malaysiaaktif) – Usaha memberi penerangan kepada masyarakat mengenai usaha kerajaan dalam mengawal harga barangan tumpuan pengguna semasa musim perayaan dilakukan secara berterusan.
Menurut Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Negeri Sembilan Shahnon Mohamad, kepatuhan para peniaga terhadap Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) amat penting terutamanya dalam musim perayaan ini kerana ianya akan membantu mengelakkan manipulasi harga dan seterusnya menambah keyakinan pengguna untuk berbelanja.
“Pihak jabatan sentiasa memastikan hebahan maklumat ini dapat membantu kerja-kerja pemantauan yang dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjalan dengan lancar,” katanya yang ditemui sempena pemantauan harga barangan di sebuah pasar raya, di sini baru-baru ini.
Ketua Cawangan KPDNHEP Kuala Pilah Ahmad Khuzairi Selamat, mengharapkan agar para pengguna perlu sentiasa peka dengan hak sebagai seorang pengguna dan menggunakan saluran yang disediakan untuk meyalurkan sebarang aduan atau pemakluman mengenai harga barangan dan sebagainya.
“Pentingnya kolaborasi antara jabatan sebegini dalam memastikan setiap anggota masyarakat mendapat maklumat yang tepat dan benar mengenai usaha-usaha kerajaan dalam mengharmonikan negara khususnya hal-hal berkaitan kepenggunaan.
“Selain daripada memberi penjelasan mengenai harga barangan, para peniaga juga dipastikan mematuhi peraturan dan SOP perniagaan dalam ketika pandemik ini bagi memastikan setiap pelanggan dan peniaga dapat menjalankan transisi urus niaga dengan tenang dan elak dikompaun,” ujarnya.
Sementara itu, seorang pengunjung, Azri Hussin, 60, memberitahu pelaksanaan skim SHMMP dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dapat membantu golongan B40 untuk berbelanja dengan berhemah.
“Harga barangan yang dikawal adalah berpatutan dan antara merupakan barangan yang sering digunakan seharian,” katanya.
-FF