
Foto: Infografik KKM
PUTRAJAYA, 28 Mei (Malaysiaaktif) – Jumlah kes baharu COVID-19 di negara ini terus menunjukkan peningkatan ketara apabila 7,857 kes direkodkan semalam, meningkat sebanyak 379 kes berbanding 7,478 Rabu.
Jumlah tersebut adalah yang tertinggi sejak pandemik itu dikesan di negara ini pada Januari tahun lepas, dan menjadikan kumulatif kes sebanyak 541,224.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi hantaran dalam laman Twitternya semalam memaklumkan, Selangor masih menjadi negeri dengan kes harian tertinggi sebanyak 2,675 kes diikuti Sarawak (772), Kelantan (754), Kuala Lumpur (561), Johor (549), Kedah (441) dan Pulau Pinang (365).
Selain itu, Negeri Sembilan merekodkan 353 kes, Terengganu (282), Pahang (238), Melaka (234), Perak (228), Sabah (217), Labuan (170), Putrajaya (12) dan enam kes di Perlis.
Pada 14 Mei lalu, Dr Noor Hisham menerusi lampiran graf pemodelan dan ramalan COVID-19, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan lebih 8,000 kes sehari menjelang bulan depan sekiranya prosedur operasi standard (SOP) tidak dipatuhi.
Sementara itu dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19, Dr Noor Hisham memaklumkan terdapat 59 kes kematian semalam, menjadikan jumlah kumulatif kes 2,491.
Ia melibatkan 19 kes di Selangor, Sarawak (sembilan), Johor (tujuh), Kuala Lumpur (enam), Kelantan (lima), Negeri Sembilan (empat), Pulau Pinang (tiga), Kedah (dua), serta masing- masing satu kes di Sabah, Melaka, Perak, dan Terengganu.
Selain itu, katanya sebanyak 4,598 kes sembuh dicatat menjadikan jumlah kumulatifnya 469,325 kes manakala kes aktif kini 69,408.
“Jumlah individu yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) setakat ini ialah seramai 771 kes dengan 392 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.
Beliau berkata terdapat 20 kluster baharu dikesan melibatkan lapan kluster komuniti, tujuh kluster di tempat kerja, tiga kluster keagamaan dan masing-masing satu kluster pusat tahanan dan institusi pendidikan swasta, menjadikan jumlah kluster aktif kini 604 kluster.
Dr Noor Hisham memaklumkan kluster komuniti melibatkan Kluster Jalan Pinang 39, Serom Lima, Jalan Wawasan Tanjung dan Jalan Rusa Waha di Johor; Kluster Telok Kemunting, Seri Sentosa dan Kampung Banggol Petaling di Kelantan serta Kluster Desa Ranggu di Sabah.
Kluster tempat kerja pula melibatkan Kluster Taman Shamelin di Kuala Lumpur; Kluster Jalan Tahana Industri (Johor), Kluster Sri Mahang (Kelantan), Kluster Beg Berkunci dan Persiaran Kuala 2 di Selangor; Kluster Batu Sepuluh Jalan Gambang (Pahang) dan Kluster Selumit (Sarawak).
Tiga kluster keagamaan melibatkan Kluster Tebuk Binjai (Selangor), Kluster Jalan Syawal (Pahang) dan Kluster Jalan Cenderawasih (Perak) manakala kluster pusat tahanan ialah Kluster DTI Tanah Merah, Kelantan; sementara kluster institut pendidikan melibatkan Kluster Jalan Kolej Yayasan, Melaka.
— BERNAMA