
Laporan/foto: Noorshazana Shaadan (Port Dickson)/Rozita Ibrahim (PPD)
PORT DICKSON, 28 Mei (Malaysiaaktif) – Binaan mesin yang ringkas, praktikal serta mudah alih adalah gambaran bagi mesin sanitasi hasil idea Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Elektrikal, Politeknik Port Dickson (PPD).
Ketua Projek Inovasi Mohamad Mokhtar Padeli, berkata mesin sanitasi ini dihasilkan untuk kegunaan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di politeknik mahupun di luar institusi untuk menyahkuman virus COVID-19 daripada tersebar dan seterusnya dapat melandaikan lengkuk jangkitan COVID-19.
“Hasil dapatan masalah yang diperolehi, maka projek ini berjaya dihasilkan bagi membantu memenuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) iaitu untuk tindakan kawalan penularan dan jangkitan bagi pengajaran dan pembelajaran di institusi pendidikan tinggi.
“Mesin sanitasi ini juga menggunakan bekalan kuasa 12V daripada bateri yang boleh dicas semula serta dilengkapi dengan hos yang panjang bagi memudahkan proses penyemburan ditempat yang sukar dicapai,” katanya ketika Sesi Penyerahan Sumbangan Mesin Sanitasi kepada Balai Bomba Bomba dan Penyelamat Telok Kemang, di sini baru-baru ini.
Menurut Mokhtar, produk ini juga mudah diselenggara dan alat gantinya mudah didapati di pasaran serta menggunakan konsep semburan jenis kabus bagi menyeragamkan kadar semburan cecair sanitasi.
Sementara itu, Pengarah Politeknik Pot Dickson Mohamad Isa Azhari, berkata amatlah diharapkan inovasi mesin sanitasi ini dapat dikembangkan dan boleh memberi manfaat kepada komuniti.
“Pewujudan mesin sanitasi ini memberi impak yang tinggi kepada PdP di PPD dan mesin ini juga menjadi multifungsi yang turut diiktiraf oleh panel-panel Pertandingan Inovasi Hal Ehwal Islam Negeri Sembilan 2020 apabila memenangi Anugerah Khas.
“Mesin sanitasi ini turut mendapat pengiktirafan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Telok Kemang serta turut disumbangkan kepada beberapa masjid di sekitar daerah Port Dickson,” katanya.
Turut hadir, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Telok Kemang, Mohd Kamal Mohd Timar.
-FF