Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanMelaka

KKJS, SWM Environment Jalin Kerjasama Strategik Dalam Pengurusan Sisa

By 2 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: M Zakry Chan

JASIN, 4 Julai (MalaysiaAktif) – Kolej Komuniti Jasin (KKJS) memeterai Surat Hasrat (Letter of Intent, LoI) bersama SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) Negeri Melaka bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang pengurusan sisa mampan dan pemeliharaan alam sekitar pada satu majlis yang diadakan di sini, semalam.

Kerjasama itu dijangka memberi nilai tambah kepada pembangunan pelajar dan warga KKJS, di samping memberi manfaat kepada komuniti setempat menerusi pelaksanaan pelbagai program berteraskan kelestarian alam sekitar di daerah Jasin dan kawasan sekitarnya.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment Sdn. Bhd., Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata perincian program akan diperhalusi dalam masa terdekat.

“Antara inisiatif yang dirancang termasuk pelaksanaan program pengasingan sisa, aktiviti kitar semula serta program pendidikan dan kesedaran alam sekitar bagi menyokong agenda kelestarian negara.

“Kerjasama ini turut selaras dengan pendekatan GUCI yang diperkenalkan oleh SWM Environment, iaitu model kolaborasi yang menghubungkan Kerajaan (Government), Universiti (University), Komuniti (Community) dan Industri (Industry) dalam usaha memperkukuh pengurusan sisa secara mampan,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Kolej Komuniti Jasin, Sr. Mohamad Kelana Juwit berkata kerjasama tersebut merupakan satu langkah strategik yang selari dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035, khususnya di bawah Lonjakan Kesembilan.

“Kemampanan dan Kesihatan Bumi, inisiatif ini juga menyokong iltizam ketujuh Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti bagi tahun 2026 yang menekankan pembudayaan amalan kemampanan di semua institusi Politeknik dan Kolej Komuniti.

“Sebagai institusi yang diperkasakan sebagai hab ekonomi setempat, KKJS turut merancang untuk memperluaskan pelaksanaan program kitar semula, termasuk pengumpulan minyak masak terpakai, ke peringkat komuniti. Inisiatif yang sebelum ini dilaksanakan dalam skala kecil di kampus itu dijangka diperluaskan dengan penglibatan lebih ramai penduduk serta sokongan padu daripada pemimpin tempatan,” katanya.

Kerjasama strategik antara KKJS dan SWM Environment ini diharap menjadi pemangkin kepada usaha membudayakan amalan lestari, sekali gus melahirkan masyarakat yang lebih prihatin terhadap pemeliharaan alam sekitar serta pengurusan sisa yang bertanggungjawab.

-AA-

Tinggalkan komen anda