
Laporan/foto: Syaiful Harif Adnan/Harman Mohammad Khalid (Cheras)
CHERAS, 23 Mei (Malaysiaaktif) – Tiada lagi bentuk amaran yang akan diberikan kepada penduduk di sekitar sini sekiranya mereka didapati culas dalam mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan.
Sebaliknya, Pegawai Kesihatan Daerah Cheras Datin Dr. Noriah Hajib, berkata individu yang gagal mematuhi SOP akan dikenakan tindakan kompaun serta-merta.
“Tiada lagi amaran yang diberikan jika ada dalam kalangan masyarakat atau premis perniagaan yang melanggar SOP oleh kerana sudah berulang kali info atau hebahan dilaksanakan.
“Jika didapati melanggar SOP, saman akan dikeluarkan supaya masyarakat lain mengambil iktibar dan sentiasa mengamalkan norma baharu,” katanya ketika ditemui sewaktu melakukan Ops Pematuhan SOP sekitar Cheras, baru-baru ini.

Ops Pematuhan SOP turut disertai Pejabat Penerangan Daerah Bandar Tun Razak/Cheras/ dan Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras.
Katanya lagi, operasi tersebut dijalankan susulan peningkatan kes penularan COVID-19 yang agak ketara di kawasan Bandar Sri Permaisuri.
“Menerusi Ops Pematuhan SOP pada hari ini, dapat dilihat masih kurang kesedaran dalam kalangan masyarakat setempat walaupun kes di sekitarnya telah meningkat dari hari ke hari,” katanya yang juga merupakan Pakar Perubatan Kesihatan Awam.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah CherasĀ Acp Mohamed Mokhsein Mohamed Zon, memaklumkan sebanyak dua saman dikeluarkan kepada penduduk di Pangsapuri Seri Penara, di sini ekoran kegagalan mengimbas kod daftar masuk MySejahtera ketika berada di premis perniagaan.
“Dua notis juga telah dikeluarkan terhadap dua pengusaha yang gagal menyediakan alat pengimbas suhu di premis,” katanya.
Ops Pematuhan SOP yang dilakukan Pejabat Kesihatan Daerah Cheras tersebut turut disertai Pejabat Penerangan Daerah Bandar Tun Razak/Cheras dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras.
-ZS