Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

119 Pencarum PERKESO Positif COVID-19 Terima Faedah

By 22 Jun 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

RAWANG, 22 Jun (Malaysiaaktif) – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO ) cawangan Rawang memaklumkan seramai 119 pencarum positif COVID-19 yang diproses pihaknya telah menerima bayaran faedah di bawah Skim Bencana Kerja pada tahun ini.

Pengurus PERKESO cawangan Rawang, Khairul Mizan Md Said, berkata pencarum yang positif boleh membuat tuntutan sekiranya jangkitan berkaitan kluster tempat kerja.

“Pencarum yang mendapat jangkitan daripada kluster tempat kerja layak untuk menuntut kos rawatan, cuti sakit, tempoh kuarantin dan sebagainya.

“Biasanya kita akan buat siasatan juga untuk memastikan kesahihan tuntutan tersebut.

“Sekiranya tidak berkait dengan kluster tempat kerja dan berlaku kematian, pencarum layak dibawah Skim Pencen Ilat dan Skim Pencen Penakat,” katanya.

Pengurus PERKESO cawangan Rawang, Khairul Mizan memaklumkan seramai 119 pencarum yang positif COVID-19 membuat tuntutan pada tahun ini.

Pengurus PERKESO cawangan Rawang, Khairul Mizan memaklumkan seramai 119 pencarum yang positif COVID-19 membuat tuntutan pada tahun ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan cek bayaran Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM2,000 kepada waris Allahyarham Nazatul Faizal Mohd Aziz di Taman Bersatu, Rawang semalam.

Allahyarham berusia 49 tahun meninggal dunia pada 8 Jun lalu selepas dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh setelah disahkan positif COVID-19.

Sementara itu, anak arwah, Putra Ahmad Daniel, 22, berkata beliau berterima kasih kepada pihak PERKESO yang prihatin membantu keluarganya yang sedang kesedihan.

“Walaupun masih bersedih selepas kematian ayah, namun pencen penakat untuk mak bakal meringankan beban kami sekeluarga.

“Saya ingatkan tuntutan PERKESO ini hanya melibatkan kemalangan sahaja, sebenarnya mereka yang positif COVID-19 juga boleh menuntut.

“Terima kasih banyak kepada pihak PERKESO yang sudi membantu kami menguruskan tuntutan ini,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda