Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Teruja Bawa Bersama Ibu Terima Vaksin

By 22 Jun 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Nurhayati Abd Halim/Roseele Hashim (Sarawak)

SIBU, 22 Jun (Malaysiaaktif) – Seorang penerima vaksin Jinau Sitam, 66, berasa sangat teruja dan bersyukur kerana telah divaksin serta melaksanakan tanggungjawab membawa ibunya iaitu Enta Umang, 86, bagi mendapatkan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Komuniti Sibu Jaya hari ini.

Kegembiraan jelas kelihatan pada wajahnya beliau ketika ditemui oleh anggota Jabatan Penerangan (JaPen) Daerah Sibu dalam usaha mendapatkan maklum balas dan juga pendapat daripada penerima vaksin bagi menambah baik perkhidmatan Program Vaksinasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Peringkat Daerah Sibu.

Jinau bersama isterinya Nancy Jeluwie, 66, membawa ibunya, seawal pukul 7.00 pagi menuju ke PPV tersebut.

“Saya bersyukur kerana proses vaksinasi berjalan dengan mudah dan teratur bahkan petugas di sini juga sangat membantu,” katanya.

Jinau yang tinggal di Sibu Jaya berharap orang ramai mendaftar dan tidak takut untuk mendapatkan vaksin bagi menyelamatkan sistem kesihatan negara.

Menurut Ketua Pusat Pemberian Vaksin (KPPV) Dewan Komuniti Sibu Jaya, Arthur Asak Kajut, 40, bermula dari 13 hingga 20 Jun 2021, seramai 3,931 orang telah menerima suntikan vaksin di PPV ini.

“Harapan saya agar orang ramai sentiasa mengemaskini serta memeriksa Aplikasi MySejahtera.

“Namun, jika tidak sihat seperti mengalami demam atau individu yang masih menjalani kuarantin, jangan datang dahulu ke PPV untuk menerima vaksin,” tambahnya.

Bagaimanapun, Arthur menjelaskan bagi yang belum mendapat tarikh untuk divaksin, diharap agar mereka bersabar menunggu giliran.

Manakala penerima yang sudah mendapat giliran dimohon datang pada tarikh yang ditetapkan supaya tidak ketinggalan dan program vaksin kebangsaan dapat dilaksanakan dengan lancar.

-ZS-

Tinggalkan komen anda