Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Kerajaan Negeri Diseru Bertindak Segera Permudah Inisiatif Pembangunan Infra Telekomunikasi

By 5 Jun 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 5 Jun (Malaysiaaktif) – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyeru kerajaan negeri supaya mengambil tindakan segera untuk mempermudahkan inisiatif pembangunan infrastruktur telekomunikasi bagi merealisasikan polisi perkhidmatan komunikasi sebagai utiliti awam seperti dipersetujui kerajaan baru-baru ini.

Menurut SKMM, ini susulan lonjakan permintaan terhadap perkhidmatan komunikasi ketika rakyat menghadapi norma baharu yang memaksa banyak urusan pekerjaan, pendidikan, jual beli dan interaksi dilakukan secara dalam talian.

“Keperluan ini tambah mendesak berikutan trend global semasa yang semakin mengunjur ke arah kemajuan berlandaskan teknologi 5G, Revolusi Industri Keempat (4IR) dan Ekonomi Digital,” menurut MCMC dalam kenyataan hari ini.

SKMM menyatakan banyak usaha telah dilaksanakan ke arah digitalisasi, antaranya melalui Pelan Tindakan MyDigital, merangkumi pembinaan infrastruktur digital yang mampan di bawah beberapa inisiatif seperti Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan penubuhan Digital Nasional Berhad (DNB).

Bagaimanapun SKMM menjelaskan, usaha itu berisiko terbantut sekiranya kerajaan negeri gagal melaksanakan perubahan dasar yang bersesuaian dan mengurangkan kos untuk membina infrastruktur ini dengan pantas.

Sehubungan itu, SKMM menyatakan kerjasama kerajaan negeri akan memberi impak positif terhadap tahap kesediaan infrastruktur dan merapatkan jurang digital dalam kalangan rakyat untuk bersiap sedia memanfaatkan transformasi digital.

“SKMM melalui pejabat cawangannya di setiap negeri juga akan mengadakan rundingan terus dan membantu kerajaan negeri untuk menerapkan Garis Panduan Perancangan Infrastruktur Komunikasi (GPP-I) dan mengkaji semula aspek peraturan dan fi dikenakan bagi memastikan semua inisiatif membina infrastruktur komunikasi yang mampan tidak tergendala,” menurut SKMM..

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah semasa sidang media dalam talian selepas menghadiri Mesyuarat Kabinet pada 3 Jun lepas juga membuat seruan yang sama.

“Menurut beliau, Kabinet memperakui perkhidmatan komunikasi sebagai keperluan asas selepas bekalan air dan elektrik.

Sehubungan itu, beliau menyeru kerajaan-kerajaan negeri supaya melakukan anjakan dasar dan peraturan bagi memastikan perkhidmatan komunikasi dapat disampaikan kepada seluruh rakyat dengan segera,” kata SKMM.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda