
PUTRAJAYA, 5 Jun (Malaysiaaktif) – Mesyuarat Majlis Penasihat dan Perundingan Warga Emas Negara (MPPWEN) semalam bersetuju agar penilaian semula Pelan Tindakan Warga Emas Negara dilaksanakan secara komprehensif.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam kenyataan semalam berkata turut dipersetujui ialah soal berhubung pelaksanaan program intervensi dalam konteks penjagaan warga emas, iaitu pewujudan konsep penjagaan jangka masa panjang.
Menurutnya mesyuarat yang dipengerusikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun itu turut membentangkan perkara-perkara mengenai pelaksanaan projek rintis Bandar Mesra Usia di Taiping, Perak.
Menurut KPWKM projek rintis itu akan dimulakan dengan kajian bagi membangunkan rangka tindakan yang boleh digunakan oleh pihak berkuasa tempatan dalam menyedia atau menambah baik kemudahan bagi menjadikan sesebuah kawasan atau bandar mesra kepada semua peringkat usia termasuk kepada warga emas.
“Kajian ini dijangka selesai pada 2022,” menurut kenyataan itu.
Mengenai pelan tindakan vaksinasi COVID-19 kepada warga emas, KPWKM berkata 2.1 juta individu telah membuat pendaftaran bagi mendapatkan suntikan vaksin melalui aplikasi MySejahtera sehingga 31 Mei dan daripada jumlah itu 632,519 warga emas telah menerima dos pertama manakala sejumlah 229,462 orang telah lengkap menerima dos kedua.
— BERNAMA