Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Pahang Peluaskan Hutan Simpanan Kekal Chini

By 15 Jun 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Dayana Bahazelan/Sh.Nurrul (Kuantan)

KUANTAN, 15 Jun (Malaysiaaktif) – Kerajaan negeri menjunjung titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenaan pemuliharaan Tasik Chini.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, kerajaan negeri akan segera bertindak menambah keluasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) Chini daripada 4,600 hektar kepada 6,000 hingga 7,000 hektar.

“Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri dan Jabatan Perhutanan Negeri telah diminta untuk mengambil tindakan segera bagi mengenal pasti kawasan tambahan seterusnya menguruskan soal pewartaannya.

“Peluasan ini dapat menambahkan lagi liputan kawasan hutan demi menjaga dan memelihara serta memulihara mutu alam sekitar Tasik Chini yang mana luas badan airnya (water body) sahaja ialah antara 200 hektar dan 700 hektar mengikut musim,” menurut kenyataan itu lagi.

Menurut kenyataan tersebut, Tasik Chini Rizab Biosfera (TCRB) di bawah program ‘Man and Biosphere UNESCO’ telah diiktiraf sejak 2009 sebagai kawasan rizab biosfera pertama di Malaysia dan ia berlandaskan pada tiga teras utama termasuk spesies atau hidupan, sokongan logistik termasuk aktiviti penyelidikan dan pembelajaran, serta pembangunan melibatkan ekonomi penduduk setempat.

“Bagi menjayakan ketiga-tiga teras utama ini, TCRB dibahagikan kepada tiga zon iaitu Zon Teras, Zon Penampan dan Zon Peralihan dengan fungsinya yang bebeza.

“Dengan keluasan maksimum kira-kira 7,000 hektar seperti dititah Pemangku Raja Pahang, ia sangat memadai bagi menjayakan TCRB secara lebih berkesan,” katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan, peluasan ini juga wajar bagi memberi keberkesanan lebih tinggi kepada usaha untuk menepati kehendak Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) mengenainya dan apabila TCRB ini dapat dijayakan dengan lebih berkesan, sekali gus dapat turut menyempurnakan titah baginda agar pengiktiarafan bertaraf dunia oleh UNESCO itu dapat terus dipertahankan.

“Kerajaan negeri akan segera berusaha melaksanakan kerja penanaman semula pokok dan sejumlah RM10 juta akan turut diperuntukkan bagi menjayakannya.

“Aktiviti penguatkuasaan juga akan terus diperkasakan termasuk pemantauan menggunakan teknologi ‘Light Detection Radar’ (LIDAR) yang akan dilaksanakan secara bersepadu serta berkala melibatkan agensi-agensi penguaktkuasaan negeri dan persekutuan,” katanya.

-AH-

Tinggalkan komen anda