Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

JaPen Selangor Jayakan Pertandingan Pidato Kenegaraan Secara Maya

By 15 Jun 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

SHAH ALAM, 15 Jun (Malaysiaaktif) – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ketika ini tidak menghalang Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Selangor menganjurkan Pertandingan Pidato Kenegaraan Peringkat Negeri Selangor secara maya hari ini.

Pengarahnya, Ali Suhaili, berkata seramai empat peserta mewakili daerah-daerah di Selangor menampilkan persembahan mantap dengan tema pertandingan ‘Kita Malaysia Bangkit Bersama’.

“Pertandingan pidato ini telah lama dilaksanakan pihak JaPen di seluruh negara secara bersemuka dengan disaksikan orang ramai.

“Namun tahun ini pertandingan diadakan melalui norma baharu dengan mempersembahkan pidato mereka secara maya di hadapan juri di tempat masing-masing.

Pengarah Penerangan Selangor, Ali Suhaili ketika menyampaikan ucapan sempena Pertandingan Pidato Kenegaraan Negeri Selangor yang diadakan secara atas talian tahun ini.

Pengarah Penerangan Selangor, Ali Suhaili ketika menyampaikan ucapan sempena Pertandingan Pidato Kenegaraan Negeri Selangor yang diadakan secara atas talian tahun ini.

“Walaupun kita sedang hadapi pandemik COVID-19 dan PKP 3.0, namun pertandingan ini perlu diteruskan kerana ia adalah aktiviti JaPen untuk meningkatkan jati diri dan patriotisme dalam kalangan rakyat,” katanya sempena pertandingan tersebut, hari ini.

Menurut Ali, membangkitkan rasa kecintaan kepada negara perlu diteruskan agar negara terus aman, stabil dan harmoni.

“Ketika ini para petugas barisan hadapan sedang berjuang untuk memastikan negara bebas daripada jangkitan virus COVID-19.

“Pengorbanan mereka itu perlu dihargai kerana jati diri serta rasa sayang kepada negara yang telah mendorong mereka untuk terus berkerja walaupun ada yang terkorban atau berpisah dengan ahli keluarga.

“Kita harus bersama menyokong usaha ini dengan meningkatkan rasa sayang dan jati diri ke atas diri, keluarga serta masyarakat agar negara ini bebas daripada segala cabaran,” katanya.

Sementara itu, Mahendran Duraisamy mewakili daerah Hulu Selangor telah dinobatkan sebagai johan mengalahkan tiga peserta lain serta menerima hadiah wang tunai RM1,500, trofi dan sijil penyertaan.

Mahendran dari daerah Hulu Selangor dinobatkan sebagai johan pertandingan pidato dan akan mewakili negeri Selangor ke peringkat kebangsaan.

Mahendran dari daerah Hulu Selangor dinobatkan sebagai johan pertandingan pidato dan akan mewakili negeri Selangor ke peringkat kebangsaan.

Guru Tuisyen berusia 28 tahun itu berjaya menambat hati para juri dengan pidato beliau yang bertajuk ‘Rukun Negara Teras Identiti Nasional’ dan akan mewakili Selangor di peringkat kebangsaan.

Tiga juri mengadili pertandingan tersebut diketuai Penolong Pengarah PENTARAMA Mohd Hafiz Sahaini, Pegawai Komunikasi Korporat Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Selangor Muhammad Na’im Azmi dan Ahli Jawatankuasa Kelab Pidato Perdana Antarabangsa Rohijas Md Sharif.

-RI

Tinggalkan komen anda