
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/IPD Gombak
SELAYANG, 16 Jun (Malaysiaaktif) – Seorang lelaki tempatan maut dipercayai dipanah petir dalam kejadian di kawasan kuari batu bata Permata Kuari, Rawang kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak Supritendan Zainal Mohamed, berkata pihaknya menerima makluman berkaitan kejadian sekitar pukul 4.05 petang sebelum sepasukan polis bergegas ke lokasi.
“Mangsa yang berusia 27 tahun merupakan seorang pemandu lori telah ke kawasan kuari tersebut pada hari kejadian.
“Ketika kejadian hujan lebat telah berlaku di kawasan kuari tersebut.
“Ketika mangsa meletakkan kenderaannya lebih kurang 50 meter dari tempat muatan batu bata, mangsa telah keluar dari lori dan berdiri di tepi untuk mengikat kanvas,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurut Zainal, secara tiba-tiba terdengar bunyi dan diikuti panahan petir di lori mangsa.
“Mangsa kemudian didapati terbaring di tepi lorinya disyaki terkena panahan petir.
“Pemeriksaan lanjut pada tubuh badan mangsa juga mendapati tiada unsur-unsur jenayah.
“Mangsa telah dihantar ke Unit Forensik, Hospital Selayang untuk ujian calitan dan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” jelas beliau.
Katanya, siasatan dijalankan di bawah Kes Mati Mengejut (SDR).
-RI