
Laporan/foto: Siti Nabila Bohari/Mohd Najib Mohaini (Johor)
JOHOR BAHRU, 19 Jun (Malaysiaaktif) – Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Program Imunisasi COVID-19 Industri kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) kedua di negeri ini akan mula beroperasi pada 28 Jun ini.
Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, PPV PIKAS AICC mempunyai 60 bilik suntikan vaksin dan beberapa bilik pesakit yang mampu menampung kapasiti antara 4,000 hingga 4,500 penerima vaksin sehari.
“Saya mendapati PPV ini bukan sahaja memenuhi kriteria yang telah ditetapkan kerajaan malah sudah bersedia untuk dibuka kepada para pekerja industri dan orang awam,” katanya ketika sidang media Lawatan Pemantauan Persiapan PPV di Pusat Konvensyen Antarabangsa Austin (AICC) di Taman Mount Austin, di sini semalam.
Tambah beliau lagi, untuk permulaan pembukaan PPV tersebut berupaya menyuntik kira-kira 1,500 penerima sehari sebelum ia ditingkatkan kepada 4,500 orang.
“Setakat 16 Jun, secara keseluruhannya sebanyak 2,082 syarikat dari seluruh negara dengan jumlah pekerja seramai 301,050 orang telah berdaftar.
“Bagi negeri Johor pula, sebanyak 255 syarikat dan seramai 14,357 pekerja terdiri daripada pemain industri telah pun mendaftar dengan PIKAS,” ujarnya.
Azmin berkata, pelaksanaan PPV PIKAS yang memfokuskan pemberian vaksin kepada para pekerja kilang dapat membantu menurunkan kes harian COVID-19 di negara ini yang mana kementeriannya memfokuskan kepada pembukaan PPV PIKAS di empat negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Sarawak sebelum ia dibuka di negeri lain.
“Pemilihan empat negeri ini berikutan ia mempunyai sektor pembuatan dan perkilangan yang besar dan kita mahu lebih usaha digerakkan dalam mengawal penularan COVID-19 di negeri berkenaan yang mempunyai jumlah kes harian tinggi.
“Inisiatif PIKAS ini adalah untuk perlindungan dan jaminan kesihatan pekerja sektor pembuatan dan perkilangan negara yang menjadi nadi penting sektor ekonomi negara,” ujarnya lagi.
Tambahnya lagi, jika pekerja sektor pembuatan dan perkilangan telah menerima suntikan vaksin maka kes penularan COVID-19 di negara ini dapat dikekang dan diturunkan.
-NI-