Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahMAPerak

Program Khidmat Masyarakat Vaksinasi Raih Sokongan Luar Biasa

By 12 Jun 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Noorhayati Ab Aziz/Kalaimani Munian (Kampar)

KAMPAR, 12 Jun (Malaysiaaktif) – Program Khidmat Masyarakat Vaksinasi COVID-19 menerima sokongan padu rakyat khususnya masyarakat di daerah ini.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah, Nolee Asyilin Mohammed Radzi, program ini merupakan inisiatif baharu kerajaan negeri meningkatkan kadar vaksinasi dalam kalangan penduduk di Perak terutama di daerah ini yang masih berada pada tahap kurang memberangsangkan.

“Ia merupakan satu usaha yang dilaksanakan oleh Jawatankuasa COVID-19 daerah dengan menyasarkan penduduk di kawasan pedalaman dan golongan berisiko serta orang kelainan upaya (OKU).

“Seramai 102 penerima berdaftar akan menerima suntikan vaksin pada hari ini dan 80% penerima telah selesai divaksinasi sehingga pukul 10.00 pagi tadi dengan penerima berusia antara 51 hingga 91 tahun,” katanya dalam sidang media di Dewan Komuniti Sahom, di sini hari ini.

Penerima vaksin mula beratur menunggu giliran seawal pukul 9.00 pagi.

Penerima vaksin mula beratur menunggu giliran seawal pukul 9.00 pagi.

Tambah Nolee, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pertama di daerah ini telah dibuka bertempat di Dewan Majlis Daerah Kampar yang boleh memuatkan seramai 500 orang penerima pada satu masa dan pembukaan PPV kedua akan dibuka di Pusat Kegiatan Kemas Gopeng dan kini dalam usaha untuk melaksanakan satu lagi kaedah iaitu secara pandu lalu.

“Program ini menyasarkan seramai 85,000 penduduk Kampar dan sehingga kini sebanyak 11.3% telah berjaya divaksin.

“Untuk makluman, program vaksinasi di peringkat penduduk Orang Asli pula akan dilaksanakan dalam satu program khusus dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA),” katanya.

Sementara itu, penerima vaksin, Lokman Ahmad, 61, berkata program ini merupakan inisiatif yang baik daripada kerajaan.

“Hal ini memudahkan penduduk terutama golongan warga emas yang menghadapi kesukaran untuk ke PPV dan turut menyasarkan lebih ramai penduduk dan tidak terhad kepada golongan berisiko sahaja,” katanya.

Bagi penerima vaksin, Lai Kah Yeow, 65, pula menyatakan rasa bertuah kerana terpilih untuk menjadi penerima pada hari ini bersama pasangannya.

“Saya berterima kasih kepada jiran terdekat yang memaklumkan tentang program hari ini,” ujarnya.

~RJ~

Tinggalkan komen anda