Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Suntikan Fiskal Langsung PEMERKASA Tambahan Terurus

By 1 Jun 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 1 Jun (Malaysiaaktif) –Suntikan fiskal langsung daripada pakej rangsangan PEMERKASA Tambahan bernilai RM40 bilion dijangka meningkatkan defisit fiskal pada tahun ini tetapi dapat diatasi tanpa menjejaskan keuntungan fiskal, menurut firma penyelidikan.

Mereka berkata suntikan fiskal langsung PEMERKASA Tambahan hanya sebanyak RM5 bilion, yang terkecil setakat ini berbanding PEMERKASA bernilai RM11 bilion dan pakej PERMAI (RM6.6 bilion).

Dalam nota, MIDF Amanah Investment Bank Bhd menjangka saiz defisit fiskal pada kira-kira 6.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini.

“Ini mengambil kira impak fiskal langsung daripada pakej rangsangan fiskal yang diperkenalkan pada tahun ini, seperti PEMERKASA dan PEMERKASA Tambahan.

“Walaupun ruang fiskal terhad, peningkatan dalam perbelanjaan fiskal diperlukan untuk mengukuhkan sistem penjagaan kesihatan negara dan mengurangkan impak daripada sekatan pergerakan terhadap ekonomi,” katanya, merujuk pelan untuk penyatuan fiskal dapat disambung semula apabila pandemik terkawal dan pemulihan ekonomi lebih stabil dan mampan.

PEMERKASA Tambahan, yang diumumkan semalam, merupakan pakej sokongan yang ketujuh untuk membantu mengurangkan kesan buruk daripada gelombang jangkitan COVID-19 yang terkini dan menguatkuasakan semula kawalan pergerakan yang lebih ketat.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan bantuan kerajaan sebanyak RM380 bilion, bersamaan dengan kira-kira 23 peratus daripada KDNK.

Sementara itu, Public Investment Bank Bhd berkata tiada butiran yang diberikan oleh kerajaan bagaimana PEMERKASA Tambahan akan dibiayai, sama ada melalui peningkatan dalam pinjaman atau memberi keutamaan semula dalam perbelanjaan seperti dalam PERMAI.

“Kerajaan dijangka mempercepatkan program vaksinasi komuniti, dan jika semuanya berjalan lancar – imuniti kelompok adalah sasaran yang wajar pada akhir tahun ini, atau lebih awal,” katanya.

RHB Investment Bank Bhd pula berkata PEMERKASA Tambahan akan memberi impak yang terhad kepada unjuran defisit fiskalnya dan justeru itu, mengekalkannya pada 6.0 peratus daripada KDNK bagi 2021.

Walaupun kerajaan mengakui bahawa ruang fiskal menjadi lebih terhad, bank pelaburan itu percaya masih ada ruang untuk kerajaan menyokong kewangannya.

Ia mengenal pasti beberapa cara untuk kerajaan boleh berbuat demikian, seperti menyesuaikan sebahagian peruntukan Belanjawan 2021 untuk langkah-langkah berkaitan COVID.

“Perbelanjaan pembangunan bernilai RM69 bilion, yang tertinggi, dipindahkan untuk tujuan lain. Begitu juga, peruntukan yang tidak digunakan daripada langkah-langkah COVID-19 lain di bawah Belanjawan 2021 disesuaikan,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda