Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

13,215 Kes Baharu, Tertinggi Setakat Ini

By 16 Julai 2021Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 16 Jul (Malaysiaaktif) – Kes harian COVID-19 di Malaysia terus meningkat dengan sejumlah 13,215 kes dilaporkan semalam, angka harian tertinggi dicatat sejak pandemik itu melanda negara.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pertambahan mendadak itu menjadikan jumlah keseluruhan kes kini sebanyak 880,782.

Selangor masih menjadi negeri paling tinggi mencatatkan jangkitan iaitu dengan 6,120 kes, diikuti Negeri Sembilan (1,603) dan Kuala Lumpur (1,499), katanya menerusi ciapan di Twitter.

Negeri lain merekodkan kes di bawah 1,000 iaitu Kedah (695), Johor (599), Pulau Pinang (509), Sabah (370) dan Sarawak (363), Melaka (484), Perak (344), Kelantan (255) dan Pahang (222).

Bagi Terengganu, sebanyak 70 kes dilaporkan, Labuan (26), Putrajaya (53) dan Perlis (tiga).

Sementara itu, Dr Noor Hisham dalam sidang media di Putrajaya berkata daripada 13,215 kes baharu, sebanyak 13,202 melibatkan kes tempatan manakala 13 lagi kes import.

Beliau berkata 6,095 kes sembuh direkodkan semalam menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 765,800.

“Sebanyak 108,369 kes aktif dicatatkan ketika ini manakala jumlah pesakit COVID-19 yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) adalah 885 orang dengan 432 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata 110 kes kematian direkodkan semalam melibatkan 95 warganegara dan 15 bukan warganegara, menjadikan kumulatif kes kematian kini 6,613.

Katanya kes kematian melibatkan 45 kes di Selangor; Kuala Lumpur (23); Negeri Sembilan (11); Johor (tujuh); Pahang (lima); Kedah dan Sarawak masing-masing empat kes; Melaka dan Kelantan masing-masing tiga kes; Sabah (dua) manakala Pulau Pinang, Perak dan Labuan masing-masing satu kes.

Dr Noor Hisham berkata kategori satu tanpa gejala pesakit COVID-19 merekodkan 60.9 peratus diikuti kategori dua dengan gejala ringan sebanyak 35.1 peratus.

“Kategori tiga dengan jangkitan paru-paru, kategori empat dengan jangkitan paru-paru dan memerlukan bantuan pernafasan serta kategori lima yang memerlukan bantuan pernafasan menyumbang kepada empat peratus,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata kadar kebolehjangkitan (R-naught atau Rt) COVID-19 di Malaysia semalam adalah 1.19.

Beliau berkata negeri yang mencatatkan nilai Rt yang tertinggi adalah Terengganu iaitu pada Rt 1.40 manakala negeri- negeri lain yang mencatatkan Rt melebihi 1.0 adalah Putrajaya (Rt 1.31), Kedah (nilai Rt 1.19), Selangor (nilai Rt 1.18), Kuala Lumpur (nilai Rt 1.17), Pahang (nilai Rt 1.16), Melaka (nilai Rt 1.15), Negeri Sembilan (nilai Rt 1.13), Pulau Pinang (nilai Rt 1.10), Sabah (nilai Rt 1.06), Johor (nilai Rt 1.05) manakala Perak (nilai Rt 1.04).

Sebanyak 26 kluster baharu dikenal pasti semalam dengan jumlah kluster aktif sebanyak 873.

“Sebanyak 15 kluster berkaitan tempat kerja, enam kluster komuniti, tiga kluster berkaitan pusat tahanan dan dua pendidikan tinggi,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda