Skip to main content
Berita SelatanNegeri Sembilan

IoW Rembau Santuni Setiap Kampung dan Taman Perumahan

By 2 Julai 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sapar Sutir (Rembau)

REMBAU, 2 Jul (Malaysiaaktif) – Masyarakat melambai atau tersenyum teruja setiap kali Unit Bergerak Pejabat Penerangan Daerah Rembau bawah program Info on Wheels (IOW) masuk ke kawasan kampung atau taman-taman perumahan di Rembau untuk membuat hebahan berkenaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa.

Menurut Pegawai Penerangan Daerah Rembau, Malini Md Yunos, IoW mesti diteruskan kerana terdapat banyak kawasan yang tidak mendapat akses internet dan ini menyukarkan mereka untuk mendapat info terkini yang disebarkan melalui media sosial.

“Hebahan IoW perlu diteruskan kerana ada masyarakat yang mungkin tidak mendapat akses internet, terlepas pandang intipati penting dari pengumuman kerajaan, jadi dengan adanya Unit Bergerak IoW Jabatan Penerangan maka penduduk dapat maklumat secara terus melalui corong-corong hebahan IoW dan mereka tidak tercicir daripada menerima informasi terkini berkaitan perihal semasa yang berlaku hari.

“Masyarakat yang tinggal di kawasan pendalaman kampung yang kedudukan rumah mereka jauh dari jalan utama tidak akan terlepas maklumat kerana Unit Bergerak IoW akan menyelusuri setiap jalan kampung dan taman perumahan sambil memasang rakaman hebahan tentang maklumat terkini yang dibuat oleh pihak kerajaan ketika ini,” katanya ketika ditemui membuat hebahan tersebut di Kampung Selemak, di sini semalam.

Menurut Malini, selain hebahan mengenai ‘Elakkan 3S juga Amalkan 3W’, petugas juga mengambil inisitif memasang hebahan dalam loghat Negeri Sembilan untuk menarik perhatian masyarakat mendengar selain salah satu idea kreatif dalam mempelbagaikan seni bahasa hebahan.

“Setiap hari waktu tugas rasmi dua orang petugas akan keluar masuk kawasan bersama Unit Bergerak mengikut lokasi yang telah dijadualkan meliputi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) serta mukim dan kekerapan membuat hebahan bertujuan mengingatkan ahli masyarakat matuhi SOP dari semasa ke semasa sehingga arahan PKP ditamatkan,” katanya.

 

Mohamad Idris Yusoh, 73, ketika di temui meluahkan rasa gembira dan berharap agar hebahan ini dapat diteruskan sehingga PKP ditamatkan.

“Saya sebagai anggota masyarakat dan ketua komuniti amat berterima kasih kepada Pejabat Penerangan Rembau atas usaha bersungguh-sungguh membuat hebahan di kampung-kampung bagi menyedarkan masyarakat tentang kepentingan menjaga SOP serta mematuhi arahan PKP dan saya berharap Unit Bergerak ini akan diteruskan sehingga pelaksanaan PKP ditamatkan,” ujarnya.

-FF

Tinggalkan komen anda