
Laporan/foto: Siti Noorezrin Mahmod (Jempol)/PDTJ
JEMPOL, 2 Jul (Malaysiaaktif) – Pejabat Kesihatan Daerah Jempol mengambil inisiatif dengan menjalankan projek rintis pemberian vaksin secara pandu lalu kepada 50 penerima vaksin yang dijalankan semalam.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Bencana Daerah Jempol Nawal Mohamed Amin, pihak jawatankuasa telah bersetuju untuk mengadakan projek rintis percubaan kepada penerima vaksin dos kedua bagi pemberian secara pandu lalu kerana prosedur yang lebih pendek dan mudah.
“Penerima vaksin secara pandu lalu akan dihubungi oleh petugas pejabat kesihatan dan diberikan waktu janji temu serta mereka akan diberi petunjuk arah ke tempat pemberian vaksin dan setelah selesai divaksin terus ke kawasan pemerhatian selama 10-15 minit bagi tujuan pemantauan,” katanya ketika ditemui perkarangan pejabat kesihatan tersebut, di sini semalam.
Tambah Nawal, pihak jawatankuasa juga sedang mengkaji untuk memanjangkan perkhidmatan ini di PPV awam yang lain kerana percaya pelaksaan secara pandu lalu ini dapat mencapai objektif mengurangkan kesesakan di dewan PPV, memberi keselesaan dan memendekkan waktu temujanji penerima vaksin kerana proses hanya mengambil masa lebih kurang 15 minit.
“Projek ini memberi fokus kepada penerima dos kedua yang mempunyai masalah kesihatan yang terpaksa menggunakan kerusi roda dan juga warga emas serta dapat mencegah jangkitan kerana penerima vaksin hanya berada dalam kereta masing-masing namun PPV awam yang sebelum ini dibuka didewan tetap beroperasi seperti biasa yang kini mencecah hingga 600 penerima vaksin setiap hari,” katanya.
Sementara itu, dalam tinjauan yang dibuat rata-rata penerima vaksin sangat berpuas hati dan bersetuju dengan pemberian secara pandu lalu kerana bukan sahaja menjimatkan masa dan tenaga namun lebih selamat kerana mengurangkan risiko jangkitan.
-FF