
Laporan/foto: Dayana Bahazelan/Sh. Nurrul (Kuantan)
KUANTAN, 2 Jul (Malaysiaaktif) – Pahang bakal membangunkan Projek Bandar Aeroangkasa melibatkan kawasan seluas 5,042 hektar di Gebeng Kuantan tahun hadapan sebagai sebuah negeri maju.Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, projek berimpak tinggi ini dijadualkan bermula tahun 2022 dan akan beroperasi pada tahun 2026.
“Projek Bandar Aeroangkasa itu akan melibatkan pemindahan lapangan terbang sedia ada ke kawasan baharu dan seterusnya menyokong Rancangan Fizikal Negara ke-3 (RFN ke-3) iaitu sebagai bandar pembangunan transit nasional (udara, darat dan laut) secara bersepadu di Gebeng.
“Ia akan dilaksanakan secara Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) bersama Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (S-GLC) iaitu Pahang Corporation Sdn Bhd (PahangCorp) bagi memulakan projek ini,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Menurut Wan Rosdy, satu memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani antara Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) Pahang yang mewakili kerajaan negeri dengan PahangCorp di Wisma Sri Pahang, semalam.
“PSK Pahang diwakili oleh Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak manakala PahangCorp pula diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif PahangCorp Mohd Khusaini Harumaini,” ujarnya.
Wan Rosdy memaklumkan projek ini bakal menyediakan sebuah lapangan terbang antarabangsa dan juga hub perkhidmatan Penyelenggaraan dan Pembaikan Pesawat (MRO) yang bertaraf dunia selain menyediakan tapak perindustrian berkaitan penerbangan (Aviation Related Industries) yang mampu menarik minat syarikat-syarikat besar di dalam industri pembinaan pesawat dan komponen pesawat.
“Pembinaan projek ini yang terletak di Gebeng, turut mengambil kira faktor hub ekonomi yang lain kerana ia terletak berhampiran kawasan industri Gebeng, Pelabuhan Kuantan dan Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) selain menjadi pintu masuk utama ke negeri-negeri Pantai Timur.
“Perancangan mewujudkan Bandar Aeroangkasa menjadikan Pahang sebagai pilihan utama pelabur melabur di negara ini berdasarkan kepada perkhidmatan yang disediakan selain faktor geo-ekonomi yang strategik di Pantai Timur.
“Projek ini nanti bakal menyediakan 50,000 peluang pekerjaan sama ada melibatkan sektor penerbangan atau bukan penerbangan,” katanya.
-AH-